Suara Anak Pahang - Perlu Baca

17 October, 2013

SAYA TETAP BERDIRI BERSAMA HISHAMUDDIN

Saya tetap berdiri bersama H20 dan menyokong beliau


Saya menerima banyak komen-komen negatif apabila saya terus-terusan menyatakan sokongan saya kepada DS Hishamuddin. Sehingga ada yang bertanya berapa saya dibayar? Saya bertemu DS Hishamuddin hanya sekali itu saja (sebagaimana gambar), namun apakah blogger hanya menulis apabila dibayar? Bukankah kita juga ada perasaan hati dan naluri sendiri?

Saya menyokong DS Hishamuddin kerana saya rasa saya perlu menyokong beliau. Mungkin kerana simpati namun selebihnya adalah kami bertemu dan merakam gambar bersama. Beliau memeluk saya dan terasa kami mesra sebagai sahabat biarpun untuk seketika. Biarpun saya sedar jika selepas ini kemungkinan besar DS Hishamuddin sudah tidak mengenali saya lagi bahkan mungkin juga tidak akan memandang kepada saya, namun saya berhak untuk menyatakan sokongan saya kepada beliau.

Saya menyatakan perasaan yang sama juga dengan DS Zahid Hamidi dengan alasan serupa. Namun bagaimana dapat saya gambarkan perasaan sayang saya kepada Mukhriz, Shafie Afdal, Isa Samad dan Ali Rostam kerana kami tidak pernah bersua? Mungkin ada blogger lain yang boleh menyokong mereka itu biarpun tidak pernah bersua muka, memadai dengan salam dan pesanan berserta sampul surat, tetapi tidak untuk diri saya.

Saya dapat merasakan perasaaan yang sama diseluruh negeri Pahang. Pahang tetap memberikan sokongan kepada DS Hishamuddin. Saya juga sudah merasakan bahawa selain DS Zahid Hamidi, tempat untuk DS Hishamuddin sebagai Naib Presiden juga sudah semakin pasti. Insyallah!

13 October, 2013

HISHAMUDDIN ATAU MUKHRIZ?

Siapa yang akan terbuang... Hishamuddin? Mukhriz atau Shafie Afdal?



Tinggal seminggu saja lagi untuk masing-masing calon memperkuatkan kedudukan mereka bagi merebut 2 lagi antara 3 kerusi Naib Presiden UMNO. Zahid Hamidi nampaknya sudah boleh tidur lena kerana popularitinya begitu tinggi sekali sebagai seorang menteri yang tegas dan sejak mengambilalih KDN.

Kita tidak pasti bagaimana kedudukan Shafie Afdal dalam perebutan kerusi berkenaan. namun persaingan diantara anak-anak mantan PM memang menjadi topik utama. Siapakah yang perwakilan akan pilih diantara Hishamuddin dan Mukhriz?

Saya banyak menulis mengenai Hishamuddin dan tidak Mukhriz, mungkin kerana saya berpeluang bersemuka dengannya berbanding Mukhriz. Di bahagian saya sendiri wakil calon tidak berjaya melaksanakan tugasnya dengan berkesan dalam mempromosikan calonnya. Mungkin pandangan saya akan berbeza jikalau saya berpeluang bertemu dengan Mukhriz sendiri selepas ini.

Saya juga tidak melihat Hishamuddin maupun Mukhriz dari sudut bapa mereka sebagai mantan PM. Bagi saya biarlah perwakilan menilai mereka atas keupayaan diri sendiri dan bukannya sebagai 'anak bapak'.

Jika Hishamuddin dilihat sebagai terlalu berlembut dan pemimpin yang lemah, saya juga tidak dapat melihat Mukhriz sebagai seorang pemimpin yang benar-benar tegas serta kuat terutama jika dibandingkan dengan KJ. Jika tidak masakan beliau mampu dikalahkan oleh KJ dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda dahulu.

Saya sedar bahawa Mukhriz harus mendapatkan kerusi Naib Presiden kali ini bagi mengimbangi KJ dalam pertarungan akan datang. KJ juga sedang berusaha untuk menyekat Mukhriz dan mengisi kerusi berkenaan bagi mengelak saingan sengit akan datang. Mereka adalah musuh tradisi.

Jika Mukhriz dan Hishamuddin ingin bersama mendapat kerusi Naib Presiden UMNO, maka mereka perlu berganding bahu 'melenjan' Shafie Afdal' dan mengucapkannya selamat tinggal! Soalnya, mampukah mereka berdua melakukannya?

09 October, 2013

NAIB PRESIDEN: ZAHID MAKIN PASTI, HISHAMUDDIN, SYAFIE DAN MUKHRIZ REBUT 2 KERUSI

3 Naib Presiden UMNO akan kekal?


Politik UMNO menjelang PAU ini semakin menarik. Persaingan 6 penjuru bagi jawatan Naib Presiden telah memeriahkan dan menghidupkan demokrasi didalam UMNO itu sendiri yang dilihat oleh sesetengah pihak sebagai sudah tidak lagi relevan. Pemilihan sejak diperingkat cawangan lagi sudah memperlihatkan bahawa UMNO parti keramat Melayu ini masih tetap segar dan akan tetap menjadi wadah perjuangan anak bangsa sama ada dipedalaman ataupun di bandar-bandar.

Biarpun pada dasarnya persaingan bagi jawatan ini adalah 6 penjuru namun saya melihat persaingan sengit hanyalah diantara 4 calon, iaitu penyandangnya Zahid Hamidi, Hishamuddin dan Syafie Afdal serta kemasukan calon baru Mukhriz. Ali Rustam dan Isa Samad dilihat sebagai tercicir dan terkeluar dari saingan atas 2 faktor. Pertama kerana transformasi didalam UMNO mengkehendaki calon yang lebih muda dan keduanya adalah faktor masa lalu mereka yang telah didapati bersalah dan dikenakan hukuman dengan menghalanya bertanding pada musim lalu.

Realitinya Zahid masih tetap popular sebagai pilihan utama, namun Hishamuddin, Syafie dan Mukhriz masih terpaksa bersaing sesama mereka untuk merebut 2 lagi kerusi yang masih kosong. Kenyataan KJ menyokong Hishamuddin secara terbuka dilihat sebagai cubaan menutup peluang Mukhriz sebagai jalan mudah untuknya melenyapkan saingannya. Pakatan dan persefahaman diantara penyandang jawatan Naib Preseiden juga dikecam sesetangah pihak namun Naib-naib Presiden menafikan adanya persepakatan sedemikian.

Sokongan terhadap Hishamuddin juga kelihatan semakin meningkat dan ahli-ahli UMNO sudah semakin bijak dalam menangani persepsi buruk terhadap Hishamuddin yang dicipta pembangkang yang bertujuan melemahkan parti.

Banyak pihak menyatakan pendapat bahawa Mukhriz lebih patut memberikan perhatian kepada pembangunan dan kestabilan negeri Kedah terutama menjelang PRK DUN Sungai Limau ini dari menumpukan perhatian kepada perebutan jawatan Naib Presiden parti. Apapun, UMNO adalah sebuah parti yang mengamalkan demokrasi yang membenarkan setiap pertandingan merebut sebarang jawatan parti tanpa sebarang sekatan. 

Di Jerantut, nampaknya 'promoter' Mukhriz masih kurang cekap dalam menjalankan tugasnya bahkan dilihat sebagai masih kurang agresif dan masih tidak bersungguh-sungguh. Mungkin juga Mukhriz atau wakilnya juga perlu memberikan sedikit ruang menyatakan wawasannya kepada pengamal media sosial untuk menambahkan sokongan. Wallahualam!

08 October, 2013

DISEBALIK SOKONGAN KJ KEPADA HISHAMUDDIN

Ikhlaskan atau serampang dua mata?


Banyak perbincangan mengenai kenyataan KJ tentang Hishamuddin yang memberikan kreadit kepada calon Naib Presiden itu yang banyak pihak melihat sebagai dalam kelemasan. Justeru, kenyataan KJ itu dilihat sebagai memberinya 'nyawa' agar tidak tercicir dari 3 calon pilihan bagi jawatan berkenaan.

Pertama, kita kena akui bahawa kenyataan yang KJ buat itu adalah satu kebenaran yang tidak dapat disangkal sama sekali, yang banyak pihak yang mendapat faedah darinya namun tidak menyedari hal berkenaan dan tidak dapat berterima kasih kepada DS Hishamuddin.

Persoalan seterusnya setakat manakah keihklasan KJ dalam memberikan sokongan kepada DS Hishamuddin? Saya melihat kepada 3 situasi; Pertama - Sebagai terima kasih kepada bekas bosnya sewaktu dalam Pergerakan Pemuda dahulu. Kedua - Membuatkan DS Hishamuddin rasa terhutang budi kepadanya. Dan ketiga - menutup rapat ruang agar tidak ada peluang bagi Mukhriz untuk bertapak dalam persaingan jawatan teratas dalam hireki UMNO.

Seandainya peluang Mukhriz tertutup kali ini, maka beliau bukanlah senior untuk tidak ditentang dalam pemilihan akan datang. Sedangkan KJ sendiri sudah berada ditahap Naik Ketua (Pemuda) maka sudah tentu kelebihan berada dipihaknya. Bagaikan pertemuan kembali dengan dendam lama, Mukhiz akan dibenamkan sekali lagi jika berhasrat untuk merebut jawatan Naib Ketua nanti.

Bagi Mukhriz, saya melihat peluangnya untuk bertapak dengan lebih mudah hanyalah pada kali ini. Jika tidak sekarang, beliau terpaksa bermalu alah dan hadir sebagai 'under dog' untuk pertarungan kedua dengan KJ nanti dan kemungkinan nama Dr Mahathir tidak lagi akan menjadi faktor penentu.


07 October, 2013

PERLUKAH KETUA BAHAGIAN DITENTANG?

Ketua UMNO Bahagian Jerantut bersama Hj Nazri Naib Ketua Bahagian


Menjelang pemilihan Bahagian, kebanyakan pertandingan tidak dapat dielakkan terutama apabila berlaku kekosongan. Namun sekiranya penyandang masih ada dan berminat untuk meneruskan tugas dan tanggungjawabnya berserta dengan prestasi baiknya maka wajarlah kerusi itu tidak ditentang.

Kebiasaan kepada UMNO adalah suka kepada keadaan dimana ada perlawanan dengan harapan untuk mendapat sesuatu dari pertandingan demikian. Jika jong tak pecah masakan yu akan kenyang. Bagaimanapun pertandingan begini bukanlah satu pertandingan yang sihat kerana kita hanya pemilihan itu bukanlah kerana keikhlasan kita, sebaliknya adalah kerana mengkehendaki faedah dari pertarungan berkenaan.

Di Jerantut, Ketua Bahagian ditentang oleh Ahli Parlimen yang baru. Banyak pihak yang menyokong namun banyak juga pihak yang tidak dan mereka ada alasan dan pendapat masing-masing. Apapun alasan mereka, mereka akan bertanggungjawab terhadap apa yang akan berlaku nanti. Kita jangan lagi ibarat membina impian yang tak kesampaian. Kita mengangkat ketua baru dan membuang yang lama, kemudian membuang pula yang itu untuk menggantikan yang baru lagi hanya kerana kita berhak untuk memilih.

Saya teringat satu kisah yang diceritakan berlaku di zaman pemerintahan Jepun yang boleh kita jadikan iktibar;

Jepun menangkap semua orang dari sebuah kampung dan mengurungnya didalam lubang-lubang yang digali yang sukar untuk melepaskan diri. 3 buah lubang disediakan untuk 3 kumpulan mengikut bangsanya, iaitu Melayu, Cina dan India.

Arahan dari ketua kawalan Jepun itu kepada pengawalnya sangat mudah. Lubang India tak payah jaga sebab mereka hanya akan bising dan bertengkar sesama sendiri sehingga mereka langsung tidak akan peluang untuk cuba melarikan diri. Cuma pantau mereka jikalau mereka berhenti berbunyi!

Lubang Melayu juga tidak usah dijaga kerana jika ada yang akan cuba melepaskan diri pasti ada kawannya dari bawah yang akan menariknya kembali kedalam lubang. Tidak akan ada yang akan terlepas kerana sikap dengki mendengki sesama mereka itu sangat tinggi. Lubang ini pun tidak perlu dijaga.

Di lubang Cina perlukan kawalan rapi kerana kaum ini sangat bersatu hati dan saling membantu antara mereka. Mereka akan menolak seseorang untuk naik keatas dan yang sudah berada diatas akan menarik yang lain untuk sama-sama berada diatas. Lubang ini mesti dikawal rapi. Tembak saja jika ada yang meloloskan diri.

Mari kita sama-sama ambil ikhtibar dari cerita ini untuk memastikan UMNO tetap kekal dan mampu terus memperjuangkan Agama, Bangsa dan Negara. Namun itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana sejarah bangsa sejak sekian lama menghidangkan bahawa bangsa Melayu tidak pernah mampu bersatu. Siapa diantara kita sebenarnya Raja Mendaliar atau Si Kitol?

Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Parlimen tidak semestinya orang yang sama. Lebih baik kita ada 2 ketua yang boleh kita mengadu nasib. Andai sebelah sayap patah maka kita ada yang sebelah lagi sambil bertongkatkan paruh. Tentunya itu lebih baik dari kita hanya bertongkat dagu!

PELUANG HISHAMUDDIN CERAH, MUKHRIZ TARIK DIRI, IJAT PUN PATUT...

Berikan beliau peluang untuk buktikan bahawa beliau 
tidaklah sebagaimana persepsi ciptaan pembangkang



Berita terkini (semalam) dari sebuah laman blog menyatakan bahawa Mukhriz Mahathir menarik diri dari kempen bagi jawatan Naib Presiden walaupun peluangnya dikatakan cerah untuk mengisi 1 dari 3 kerusi berkenaan. (Klik Sini) Alasanya adalah sangat wajar, yakni untuk memberikan tumpuan penuh kepada kempen PRK DUN Sg. Limau berikutan kematian penyandangnya mantan MB Kedah Azizan Razak.

Secara peribadi saya menyukai beliau bertanding dan mendapatkan kerusi Naib Presiden bagi memastikannya terus mendapat sokongan didalam UMNO terutama dalam persaingannya dengan KJ. Jika benar beliau menarik diri maka peluang bagi Hishamuddin akan jadi lebih cerah untuk terus mengekalkan kedudukannya di salah satu dari 3 kerusi Naib Presiden. Ini bukan saja penting bagi dirinya tetapi juga bagi memastikan kestabilan parti.

Shahrizat juga sepatutnya melepaskan jawatan Ketua Wanita bagi membantu transformasi didalam Wanita UMNO agar dapat berlaku dengan lancar. Biarpun beliau masih mendapat sedikit sokongan dalam Wanita UMNO namun beban yang ditanggungnya membabitkan dengan kes perniagaan keluarganya serta kes Setiausaha Politiknya turut menjadi bebanan kepada parti. Jikalau beliau lebih sayangkan parti, tentulah beliau akan mengambil tindakan sama sebagaimana yang dilakukan oleh Mukhriz - menarik diri.

Bagaimanapun dari sudut lain, pertandingan yang berlaku disemua peringkat sekarang ini menunjukkan bahawa UMNO masih disukai dan jadi harapan orang Melayu. Ianya juga satu petanda bahawa UMNO masih hidup dan mampu untuk kekal sekurang-kurangnya untuk beberapa tahun lagi. Cuma pemimpin-pemimpin yang bertanding janganlah terlalu rakus dan terlalu mementingkan diri serta jangan sesekali berkempen dengan cara memburukan lawan, kerana itu juga nanti akan dijadikan senjata bagi pihak lawan apabila menghadapi kita dalam PRU14 nanti.


06 October, 2013

ZAHID HAMIDI DAN HISHAMUDDIN ?

Sokong DS Zahid Hamidi, tapi sokong juga DS Hishamuddin


Bila saya menulis tentang DS Hishamuddin, berpuluh-puluh komen negatif saya terima. Saya teringat semasa menghadapi PRU lalu, tidak ada fenomena seperti ini berlaku. Saya mengandaikan bahawa ini adalah hasil usaha cybertrooper UMNO sendiri yang dibiayai untuk menjatuhkan DS Hishamuddin. Justeru, komen-komen berkenaan saya sekat sehingga PAU selesai nanti. Kerja siapa kah itu? Sudah tentu kita ada suspeknya, yang berkepentingan supaya DS Hishamuddin tewas.

Saya tidak menafikan bahawa DS Zahid Hamidi adalah antara calon terpopular bagi mengisi salah satu dari 3 jawatan Naib Presiden UMNO ini nanti. Dari 6 calon saya saringkan dan melihat bahawa TS Isa Samad sebagai dikedudukan tercorot. Transformasi dalam UMNO sudah tidak mengkehendaki pemimpin sepertinya lagi. Suatu ketika saya berusaha untuk membuat liputan mengenainya namun pegawainya tidak mengizinkan, jadi bagaimana dirinya dapat digilap?

DS Ali Rostam juga dalam keadaan yang payah. Sepertimana TS Isa Samad, beliau juga terpalit dengan sejarah hitam ketika dihalang bertanding pada penggal lalu atas sebab yang semua sudah sedia maklum. Transformasi didalam UMNO dan generasi baru kepimpinan UMNO ingin mencari yang bersih dan juga kelihatan bersih.

Justeru, saya melihat persaingan adalah kembali seperti dulu cuma ditambah satu lagi pendatang baru, iaitu DS Mukhriz Mahathir. Kita tahu bahawa jawatan ini sangat penting bagi Mukhriz untuk terus mampu bersaing dengan KJ dipenggal akan datang. Populariti KJ telah menenggelamkan Mukhriz dalam persaingan sebagai Ketua Pemuda dahulu tentu masih jadi igauan, kerana itu Mukhriz mesti menempah kerusi NP ini sekarang kerana jika bukan sekarang perjalanan akan jadi makin payah.

Dengan menentukan hanya 3 dari 4 calon yang akan dipilih, memang kedudukan DS Hishamuddin agak membimbangkan. Persepsi buruk tentang kelemahan beliau yang ditanamkan oleh pembangkang juga sudah dipercayai oleh UMNO sendiri. Kita sudah dapat melihat bahawa strategi musuh adalah memecahbelahkan kepimpinan UMNO dan menjadikannya lemah untuk lebih mudah menghapuskan penguasaan UMNO dalam kerajaan yang sudah melebihi 50 tahun.

Pembangkang sedar bahawa untuk menjatuhkan UMNO mestilah dirosakkannya dari dalam. Maka inilah yang sedang berlaku sekarang ini tanpa kita sedari atau dalam sedar dengan berimbuhan.

Lemah sangatkah DS Hishamuddin? Buruk sangatkah beliau? Melainkan ada agenda tertentu untuk menghapuskan beliau dari politik serta agenda besarnya untuk menghapuskan DS Najib sendiri, dan kita dijadilah alat untuk jatuhan yang itu untuk naikkan yang ini, kemudiannya jatuhkan lagi untuk naikkan yang lain pula. Jadi seperti lebai malang berkayuh ke hulu ketika air surut kemudian berkayuh kehilir ketika air pasang namun kedua-dua kenduri melepas dan pulang kerumah kelaparan.

Malang nasib DS Hishamuddin. Saya ingin membuat perumpamaannya begini: Si A menyerahkan tanah yang masih hutan rimba kepada Si B. Si B membersihkannya dan menanam pokok buah-buahan dengan banyaknya. Menyirami dan membajainya supaya subur dan berbuah. Namun ketika hampir berbuah Si B terpaksa menyerahkan tanah kebun berkenaan kepada Si C. Si C yang menerima kebun berkenaan ketika pohon-pohon berbuah subur. Maka riuh sekampung memuji kejayaan beliau berkebun. Si B itu adalah DS Hishamuddin.

Apa pendirian kita sebenarnya? Apabila DS Zahid Hamidi bertindak tegas, dalam kes terkini terhadap wartawan Malaysiakini maka ada pihak yang bencikannya konon terlalu tegas dan bertindak kejam. (Klik Sini) Apabila DS Hishamuddin berlembut, mengambil tindakan bagai menarik rambut dalam tepung ada juga pihak yang tidak puas hati. Siapa pilihan kita apabila semuanya salah? Pilih diri kita sendiri? Atau pilih orang yang 'menumbuk rusuk' dan belikat kita?


Baca artikel diblog BumiYang yang merujuk kepada blog BH sebelum ini.


04 October, 2013

SOKONG HISHAMUDDIN - MELIHAT H20 DARI DEKAT

Braveheart, H20, D Shahaniza dan blogger Semut Hitam


Saya bertuah kerana berpeluang bersemuka dengan pemimpin ini, DS Hishamuddin Hussein dari dekat. Ramai menganggap bahawa beliau masih sama, tetap tidak hiraukan cercaan yang dibuat oleh pelbagai pihak dalam memberi persepsi buruk terhadap dirinya. Walau nampak sedih namun beliau sangat yakin bahawa akan tetap terpilih diantara 3 Naib Presiden dalam PAU nanti.

Masalah beliau hanyalah persepsi yang sudah diasaskan oleh pihak pembangkang sejak sekian lama bagi melemahkan kerajaan. Pembangkang sangat sedar bahawa mereka tidak akan mampu untuk menumbangkan kerajaan melalui PRU, justeru itu mereka mencuba menghuru-harakan negara dengan harapan akan berlaku rusuhan sebagaimana di Mesir.

Dalam PRU13 lalu, bukan sedikit cabaran yang diberikan pembangkang. Mereka memfitnah itu ini termasuklah adanya pengundi hantu bahkan yang didatangkan khas dari Bangla, namun akhirnya itu tidak langsung berlaku. Demikian juga dengan fitnah bahawa berlakunya 'blackout' semasa pengiraan undi, bagaimanapun calon pembangkang dimana kes berkenaan didakwa berlaku telah tampil dengan beraninya menafikan kejadian itu. Malangnya 'kita' samaada sebagai rakyat mahupun ahli UMNO sendiri masih lemah dan gagal menangani persepsi. 

Kekuatan kerajaan adalah dari UMNO sebagai parti tunjang kepada BN. Sedar bahawa gagal menjatuhkan kerajaan dari luar, maka pembangkang sejak dahulu lagi berusaha keras mencalarkan imej pemimpin negara. Mengapa pembangkang berdiam diri semasa Pak Lah jadi PM? Bukankah kerana mereka sedar bahawa lebih mudah menolak Pak Lah yang selalu lena tidur dari pemimpin muda dan bertenaga seperti DS Najib? Kerana itulah tidak henti-henti persepsi buruk mengenai DS Najib sendiri, menteri-menteri, DS Rosmah, kerajaan dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan, agensi-agensi kerajaan dicipta dan disebarkan.

Gandingan mantap antara DS Najib dengan DS Hishamuddin juga dilihat sebagai cabaran kuat buat pembangkang. Hubungan akrab dan kekeluargaan diantara mereka sangat dicemburui. Siapa lagi yang akan pertahankan DS Najib sebagaimana yang mampu DS Hishamuddin mampu lakukan? Mungkin juga DS Hishamuddin adalah orang yang sangat dipercayai oleh DS Najib sendiri atas faktor kekeluargaan dan ini yang membuatkan pembangkang bahkan dalam UMNO sendiri merasa cemburu terhadap DS Hishamuddin selama ini.

DS Hishamuddin naik bukan kerana menumpang nama sesiapa, tidak nama DS Najib bahkan tidak juga nama keluarganya sendiri. Beliau bertatih dari bawah dan melangkah setangga demi setangga dengan mengharung susah dan payah. Cuma sebagai seorang pemimpin dari keturunan yang beradab, beliau tidak membalas segala tohmahan yang ditujukan kepadanya. Sikap diam dan membisunya itulah yang membuatkan pihak musuhnya sentiasa mencipta persepsi dengan memburuk-burukkan beliau.

Siapa yang berani berada di zon perang yang dimaklumi berbahaya ketika isu Lahad Datu sedang memuncak? Musuh yang merupakan pengganas yang tidak sayangkan nyawa berada dimana-mana dan bersedia melakukan sebarang tindakan yang tidak kita jangkakan sama sekali hanya kerana sebatang rokok? Sebarang tindakan yang terpaksa beliau ambil adalah sungguh sukar kerana sedikit kesilapan maka negara akan terlibat dalam kancah perang yang akan disokong negara asing. Tindakan menjadi lebih sukar ketika kita menghadapi suasana PRU yang segalanya sentiasa dan akan dijadikan isu politik oleh pihak pembangkang. Apakah kita sedar ini semua? DS Hishamuddin mesti mengambil pendekatan sebagaimana kata pepatah 'menarik rambut dalam tepung'.

Ketika kebanyakan pemimpin pembangkang serta pemimpin UMNO sendiri 'kecut telor', namun Hishamuddin anak Hussein anak Onn Jaafar ini berani kehadapan kerana tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada beliau mesti dipikul sebaik mungkin. Apa penghargaan yang kita berikan kepada beliau yang berusaha menjamin keselamatan kita dan negara kita? Lihatlah ke cermin ke dalam mata kita dan rasailah malunya kita yang bukan sahaja tidak tahu menghargai pemimpin sepertinya bahkan turut bersama musuh kita mencerca beliau.

Benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau... namun berikanlah tempat yang sebaiknya untuk benih ini bercambah menjadi pohon rimbun yang akan jadi tempat berteduh rakyat jelata agar kita akan dapat bernauh satu hari nanti. Saya tetap akan menyokong H20, Insyallah akan berjaya pertahankan tempatnya didalam saf kepimpinan UMNO dalam PAU nanti.


02 October, 2013

CALON ABAIKAN MEDIA SOSIAL HARUS BERSEDIA UNTUK KECEWA

 
 DS Najib bergambar meraikan sebahagian pengamal media sosial
 
 
Perang media sosial semakin hangat sempena PAU ini. Jika dalam PRU12, UMNO terkapai-kapai dan tidak mengendahkannya yang akhirnya mengakibatkan kehilangan beberapa buah negeri kepada pembangkang. Dalam PRU13 dengan bantuan pengamal media sosial pro BN maka UMNO BN masih berjaya mengekalkan kuasanya bahkan merampas semula Kedah dari Pas.

Sepanjang PRU13 ramai pengamal media sosial penyokong kerajaan berusaha keras membantu memenangkan UMNO BN dalam PRU. Ahli-ahli UMNO dan pemimpin-pemimpin UMNO dibeberapa peringkat (bukan semua) masih mendiamkan diri. Namun menjelang PAU mereka semua mengeluarkan taringnya masing-masing. Mencerca sesama sendiri dalam usaha merebut dan mengekalkan jawatan diperingkat bahagian masing-masing.

Laman-laman media sosial jadi riuh rendah dengan aktiviti melondehkan keaiban sesama sendiri. Bukankah itu nanti akan dijadikan 'peluru' oleh pihak lawan dalam pertempuran dalam PRU14 nanti? Bukan sedikit 'blogger upahan' yang dipergunakan bagi tujuan dan maksud tertentu. Bahkan ada cerita-cerita pergaduhan sesama blogger kerana pertahankan 'tuan' masing-masing.

Ada juga kisah blogger yang menemui calon-calon tertentu dengan tujuan menawarkan khidmat mereka, namun apabila tawaran mereka ditolak merekapun mula memburukan calon berkenaan dilaman blog atau facebook mereka. Terkini, seorang calon yang menawarkan diri bertanding dalam Pergerakan Wanita telah diserang oleh blogger yang kecewa kerana menolak tawaran khidmatnya. Ada juga antara blogger-blogger yang menjalankan aktiviti 'pelacuran blogging' secara berkumpulan bagi mendapatkan impak yang besar.

Apapun, calon UMNO jangan meminggirkan dan menganggap media sosial ini tidak penting. Mungkin benar sebahagian besar pengundi terutama diperingkat bahagian tidak mesra media sosial seperti facebook, blog dan sebagainya, namun kesannya secara langsung tidak dapat dinafikan sama sekali. Bagi mereka yang mengabaikan peranan media sosial dalam pertandingan kali ini tentu akan menyesal bila menyedari bahawa memang media sosial memberi impak dalam pemilihan, biarpun diperingkat bahagian.
 


Penafian / Disclaimer

Segala tulisan di dalam blog bERANIKAN hATI ini adalah pandangan dan pendapat bh secara peribadi dan bh tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruh sesiapa. Sebarang tulisan yang didapati ada persamaan adalah secara kebetulan melainkan dinyatakan merujuk kepada mana-mana artikel tertentu. Sebarang rujukan dalam penulisan di blog ini adalah dari bahan-bahan dan sumber-sumber yang diluluskan undang-undang. Sebarang pertikaian terhadap tulisan di blog ini maka sumber dan rujukan asal akan dirujuk, bh tidak akan dipertanggungjawabkan.

Terima kasih

Dari Mana Datangnya...