Suara Anak Pahang - Perlu Baca

27 November, 2014

ZAHARIN 'PARIA' POLITIK ?

Zaharin sebagaimana yang digambarkan 
oleh seorang facebooker


Zaharin Mohd Yasin aka blogger Sang Kelembai bolehlah dianggap sebagai blogger kontroversi. Selalu menonjolkan diri dengan isu-isu panas terutama menghentam pemimpin UMNO. Kita faham bahawa ada sesuatu yang dia mahukan selain dari perhatian.

Yang menghairankan kenapa pemimpin dan UMNO sahaja yang jadi sasaran? Apakah pihak pembangkang tidak ada melakukan sebarang kesalahan? Ya, mungkin beliau ada alasan... untuk membetulkan kesilapan ... namun menegur di media sosial dengan kata-kata yang tidak wajar dimana bukanlah satu cara yang terpuji. Melakukan perkara yang benar dengan cara yang salah juga umpama melakukan kesalahan.

Saya tidak mengenali beliau secara dekat, namun saya sangat faham bahawa beliau dambakan jawatan didalam UMNO bahkan didalam kerajaan jika berpeluang. Tetapi mungkin beliau sendiri sedar bahawa harapan itu tidak akan tercapai dan beliau ibarat sudah ketinggalan kapal untuk membawanya belayar jauh.

Sabarlah Zaharin! Simpanlah gelisah dan gundah! Jika kail panjang sejengkal, sia-sia dalam lautan diduga!

Zaharin memilih jalannya sendiri dalam mengejar populariti. Kerana itu tidak hairanlah bila beliau seronok jadi bahan perbualan biarpun dengan keburukan. Beberapa laman blog sejak dulu lagi menghentamnya, demikian juga di laman facebook.

Tetapi itulah Zaharin sebagai 'paria' politik. Baca The Unspinners, Mat Kilau Penang, Media Tempur Kedah, Kulaan Niring, Rezqeen Hill dan banyak lagi.

Terbaru, di laman facebook, Zaharin 'mengata' puteri yang kebanyakkannya gemuk. Saya boleh bersetuju dengan kenyataannya itu. Namun Zaharin bernasib baik kerana di PWTC semalam saya tidak sempat merakam gambarnya ketika berjalan dengan seseorang yang juga 'gemuk' sebagaimana gambaran yang diberikan kepada Puteri UMNO. Hahahaha!

Kadang-kadang, jika kita selalu meludah ke langit, pasti suatu waktu akan terpercik ke muka sendiri.


26 November, 2014

'ZAMKATA' PERLU RASIONAL BANDINGKAN MENTERI BESAR PAHANG DENGAN KETUA MENTERI SARAWAK



Saya ingin 'response' kepada tulisan TS Zainuddin Maidin diblog 'ZamKata' posting bertajuk 'Beranikah MB Pahang ikut langkah Ketua Menteri Sarawak?

Namun terlebih dahulu ingin saya jelaskan bahawa saya adalah seorang blogger bebas dan tidak terikat dengan sesiapa, justeru tulisan dan pandangan saya juga adalah bebas dan tidak mewakili sesiapa. Jika pun saya dilihat mempertahankan Menteri Besar Pahang, ianya bukanlah atas sifatnya sebagai individu melainkan atas jawatan sebagai pemimpin negeri.

Saya sangat bersetuju dengan pandangan TS Zainuddin Maidin  apabila mencontohkan keberanian Ketua Menteri Sarawak dalam menangani isu pembalakan di Sarawak. Memang ianya sangat patut dipuji, dan memang bukan senang untuk kita mengubah sesuatu diluar dari kebiasaan. 

Tan Sri Adenan Satem sememangnya berani untuk mengambil langkah yang tidak popular bahkan berani berhadapan dengan pegawa-pegawai tinggi kerajaan dalam menangani isu berkenaan. Pastinya beliau sudah mengambil kira kekuatan dirinya sendiri dalam menghadapi sebarang keadaan yang bakal dihadapinya kemudian hari.

Memang bukan mudah untuk berhadapan dengan mereka yang berkuasa yang seringkali menutup mata mereka dalam hal kegagalan penguatkuasaan sehinggakan pencerobohan hutan boleh berlaku dihadapan mata dan berleluasa.

Mungkin itu tindakan yang tidak popular dikalangan pegawai tinggi kerajaan namun tindakan itu juga sudah tentu akan mendapat sokongan dikalangan masyarakat terutamanya bagi generasi muda yang sangat mudah menerima maklumat melalui media sosial.

Bagaimanapun untuk membandingkan Menteri Besar Pahang dengan Ketua Menteri Sarawak adalah saya anggap sebagai sesuatu yang tidak bijak tanpa melihat dan mempertimbangkang persekitarannya. Sosio-budaya diantara Pahang dengan Sarawak juga berbeza.

Apa yang boleh dilakukan di Sarawak tidak semestinya boleh juga dilakukan di Pahang atau di negeri-negeri kerana adanya kekangan kuasa tertentu yang pastinya akan menyukarkan sesuatu untuk diimplementasikan tanpa mendapat tentangan dan tekanan.

Saya berpendapat, TS Zainuddin sendiri yang sudah sangat berpengalaman luas ketika berkhidmat didalam bidang kewartawanan media arus perdana serta sebagai seorang menteri kerajaan sudah pasti adakalanya terpaksa berhadapan dengan keadaan dimana sesuatu keputusan yang diambil harus juga mengambilkira pihak lain terutamanya institusi yang sukar untuk sentuh.

TS Zainuddin Maidin juga perlu rasional apabila ingin membandingkan diantara Menteri Besar Pahang dengan Ketua Menteri Sarawak. Namun, setidak-tidaknya Menteri Besar Pahang sudah berjaya mempertahankan negeri dari ditawan pembangkang dalam beberapa siri PRU yang lalu.

Mungkin sempena PAU kali ini saya dapat bertemu dengan TS Zainuddin Maidin seketika andainya ada kesempatan dan waktu.... mana tau...?



25 November, 2014

UTUSAN - DARI 30 RIBU BANGLA KE ISU ALAM SEKITAR ....

Displaying IMG-20141125-WA0010.jpg



Utusan Malaysia memulakan fitnahnya dengan tuduhan adanya 30,000 Bangla di Cameron Highlands.  Akhirnya senyap apabila sedar bilangan yang diberikan itu tidak masuk akal dan bahkan dari operasi memburu PATI yang dijalankan tangkapan yang dibuat tidak mampu mencecah angka 5,000 orang pun. 

Maka Jika benar dakwaan 30,000 Bangla oleh Utusan itu kemanakah mereka menghilang? Apakah kerana 'warna' membuatkan mereka sukar kelihatan dan dengan mudah jadi halimunan? Utusan dan Awang Selamat mesti menjawab dan buktikan bahawa tuduhan mereka bukanlah sati fitnah.

Dengan kehendak Allah, berlaku pula banjir lumpur di Cameron Highlands yang mengakibatkan kehilangan jiwa dan kemusnahan harta-benda, lalu perhatian rakyat pun berubah daripada isu 30,000 Bangla kepada isu alam sekitar.

Apabila adanya campur tangan Sultan Pahang setelah campur tangan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri di Cameron Highlands, terbaru Utusan Malaysia menyerang Tasik Chini pula. Jangan nafikan bahawa ini adalah usaha terancang pihak Utusan untuk menjatuhkan Menteri Besar Pahang.

Mungkin selepas Tasik Chini, Utusan akan memaparkan pula isu penerokaan di Tasik Bera, Taman Negeri Endau Rompin, Taman Rimba Kenong di Lipis serta projek Sturgeon di Taman Negara. Tentu kita wajar bertanya, ini agenda siapa?

Dalam isu alam sekitar Tasik Chini, siapakah sasaran Utusan Selain dari Menteri Besar Pahang? Apakah Utusan membawa agenda memburukkan Perdana Menteri kerana DS Najib adalah Ahli Parlimen bagi kawasan Tasik Chini, atau ingin menyentuh institusi raja di negeri Pahang?

Dari sudut politik, tidakkah apa yang dilakukan Utusan itu boleh menghakis kepercayaan rakyat terutama pengundi muda dari terus menyokong UMNO/BN yang bakal dan mampu mengakibatkan kekalahan dalam PRU akan datang?

Apakah apabila Menteri Besar Pahang yang ada ini tidak lagi jadi Menteri Besar segala sungai-sungai akan kembali jernih serta merta dan pokok-pokok di hutan akan kembali tumbuh menghijau dalam semalaman?

Walau apapun, janganlah kita melakukan tindakan yang betul dengan dan kerana alasan yang salah!


Syahibul hikayat.  Syahadan sebermula tersebutlah kisah 'Lebai Malang' yang tamak untuk makan di dua kenduri. Satu di hilir dan satu lagi dihulu. Namun silap jua lah dia adanya kerana memilih ke hulu ketika air surut dan terpaksa menongkah arus. Maka lewat lah beliau ketika tiba dan kenduri itu pun sudah selesailah adanya.

Adapun Lebai Malang pun cepat-cepatlah menghilir. Adapun ketika itu air sedang pasang. Maka menongkah aruslah si Lebai Malang. Arkian, maka apabila tiba, terlewat jugalah dia adanya. Maka terlepaslah beliau kedua-dua kenduri itu dan kelaparanlah beliau adanya. 





17 November, 2014

MANA HILANGNYA 30 RIBU BANGLA DI CAMERON HIGHLANDS ?

Gambar hiasan


Terdahulu, Utusan Malaysia @ Utusan Meloya melaporkan Cameron Highlands 'ditawan' dengan kehadiran 30,000 (Tiga Puluh Ribu) Bangla. Semua pihak jadi ribut dan kelam kabut dengan kenyataan berkenaan.

Tentu sekali Zahid Hamidi mengetap bibir apabila ada kenyataan yang secara tidak langsung mempertikaikan kewibawaannya. Berikutan itu beberapa operasi dijalankan bagi memburu PATI hingga 'ke lubang cacing'.

Menteri-menteri yang berjawatan dalam UMNO tentu kelam kabut kerana tidak lama lagi kewibawaan mereka akan dipersoalkan atau 'disindir' dalam PAU nanti. 

Begitulah baiknya apabila Utusan dan Awang Selamat seekali menjolok 'sarang' tebuan, lebah atau kelulut. Semua serangga-serangga itu akan berterbangan, jika tidak menyengatpun akan berkeliaran disekeliling sarang.

Cuma kita nak tanya, selepas operasi 'memburu' dijalankan, mana dia 30,000 Bangla atau PATI sebagaimana tuduhan Utusan? Mampukah beribu-ribu PATI itu menyelinap didalam hutan atau dilain-lain tempat? Jika mereka masih bebas bersembunyi, salah siapakah pula kali ini? Apa asas kepada bilangan seperti tiduhan Utusan itu?

Atau, kita hanya 'seriau' kepada berita yang tidak pasti kesahihannya serta melompat dan melatah?


Sahibul hikayat maka hujan pun mulalah turun mencurah-curah. Adapun paras air-air sungai pun pastilah akan naik dan segala kawasan-kawasan tanah pamah akan ditengglami air juga akhirnya. 

Adapun segalanya itu adalah kuasa dan kehendak Allah jugalah adanya dan tiada jugalah sesiapa dapat menahannya melainkan elok dijadikan ikhtibar semata-mata. Jika takut dilambung ombak, jangan berumah ditepi pantai.. jika tak hendak dihanyyutkan banjir lumpur, jangan berumah ditepi sungai diperbukitan.





15 November, 2014

#supportmbpahang - HEBAT SANGATKAH ADNAN ?




1. Tulisan saya terdahulu menyanggah tulisan di blog Zamkata. Terima kasih kerana TS memberi perrhatian kepada tulisan dan pandangan saya diblognya.


2. Tentu masih ramai yang belum lupa cerita si buta dengan gajah. Ringkasan kisahnya begini; Sekumpulan orang buta dibawa untuk mengenali gajah. Kerana kecacatan penglihatan maka mereka ingin mengenalinya dengan cara 'meraba'.  

Yang memegang badan kata gajah itu seperti dinding tembok, yang memegang kaki kata gajah itu seperti batang pokok, yang pegang belalai pula kata gajah seperti ular, yang pegang telinga kata gajah itu seperti kipas.... akhirnya mereka bertengkar mengenai bagaimana rupa gajah itu sebenarnya.


3. Kita akan nampak seseorang atau sesuatu objek berdasarkan dari tempat dimana kita berdiri. Pembangkang yang sebeum PRU13 dengan yakin menjangka akan dapat menawan Pahang, namun gagal dan melihat  DS Adnan Yaakob sebagai kubu yang teguh. Keberanian dan kelantangannya mengagalkan usaha mereka. Jika bukan DS Adnan Yaakob Menteri Besar Pahang ketika itu tidak mustahil Pahang jadi seperti Selangor atau setidak-tidaknya menerima nasib sebagaimana Perak.

Rakyat sibuk mencerca pemimpin-pemimpin yang kononnya lemah. Beberapa menteri juga turut dilabelkan sebagai 'tidak bertelor'. Namun kepada Menteri Besar Pahang yang mereka labelkan sebagai samseng ini mereka benci juga? Apakah orang UMNO membenci beliau lebih dari pembangkang membencinya?

Utusan dalam tulisannya menyindir Menteri Besar Pahang ... 'Hebat Sangatkah Adnan'. Jawapannya adalah bergantung kepada dengan siapakah  DS Adnan Yaakob dibandingkan? Jika Utusan dan Awang Selamat bandingkannya dengan mantan Menteri Besar Selangor, mantan Menteri Besar Perak serta mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, maka jawapannya adalah:  Ya, memang hebat!

Menteri Besar Pahang juga memang hebat jika dibandingkan dengan TS Zainuddin Maidin yang hanya jadi Menteri Penerangan selama 2 tahun sahaja dan tentulah tersangat hebat jika dibandingkan dengan Awang Selamat sendiri.

Sudah pasti ada pandangan berbeza dari penglihatan dari sisi yang berbeza-besa, namun usaha memburuk-burukkan seseorang untuk menjatuhkannya adalah tidak wajar sama sekali. Kenapa perlu kita melihat Menteri Besar Pahang dalam gambaran yang buruk tanpa melihat jasa yang telah beliau berikan selama ini? Melakukan perkara yang benar dengan alasan yang salah juga adalah salah.

Apa sebenarnya orang Melayu dan orang UMNO nak?

(Sila Baca)


Adapun sahaya terpaksalah meninggalkan tinta dan kalam ini kerana sahaya teringatkan akan ikan-ikan di kolam yang masih sahaya belum beri makan. Adapun segala macam ternakan dan tanaman yang sahaya perbuat itu bukanlah untuk diri sahaya sebaliknya adalah untuk anak cucu jua adanya.

Akhirulkalam, jagalah tanah air ini agar jangan hanya tinggal nama, bukan lagi untuk kita tetapi untuk warisan anak dan cuculah jua.


13 November, 2014

SIAPA ZAM YANG BOLEH TENTUKAN MENTERI BESAR PAHANG MENEMPAH' MAUT'?

Mantan Mamak Menteri


Utusan Malaysia merupakan suara UMNO dan orang Melayu sejak dahulu lagi. Utusan adalah lidah resmi UMNO dan suara para pemimpin UMNO. Namun tidak kurang juga penglibatan Utusan dalam memberi warna kepada politik UMNO dan tanah air.

Utusan Malaysia adalah musuh utama kepada pembangkang. Kerana itulah Pas memanggil Utusan Malaysia / Melayu sebagai Utusan Meloya. Pengikut Pas memang dah mengharamkan Utusan untuk dibaca bahkan mungkin tersentuhnya juga perlu disamak.

Anwar Ibrahim sendiri yang suatu ketika dahulu menggunakan Utusan sebagai penyambung lidahnya akhirnya turut melabel Utusan sebagai pembawa berita palsu dan berniat jahat.

Memang tidak kurang para pemimpin UMNO dijatuhkan oleh Utusan yang menjalankan agenda orang-orang tertentu. Saya tidak hendak memberi contoh kerana contohnya terlalu banyak. Yang ingin saya persoalkan disini adalah apakah kali ini Utusan juga membawa agenda khas untuk menjatuhkan Menteri Beasr Pahang?

Saya tidak hairan apabila Awang Selamat dan Utusan bersungguh-sungguh cuba 'mamalukan' dan menjatuhkan Menteri Besar Pahang kerana saya pasti jika diibaratkan polong, dia polong yang dipelihara dan bertuan. Pasti ada hidangan telor disediakan untuk santapannya.

Cuma saya agak terkejut apabila seorang mantan menteri yang juga bekas pengarang Utusan turut 'mengehentam' Menteri Besar Pahang didalam blognya dengan memberi tajuk 'Menteri Besar Pahang Menempah Maut'. Nampaknya mantan menteri ini masih merasakan bahawa beliau adalah sebahagian dari 'Utusan Meloya' dengan khayalan dalam zaman gemilangnya dulu.

Saya bukan antara yang taksub kepada satu-satu pemimpin bahkan pada suatu ketika saya sendiri pernah 'menghentam'. Namun, dipenghujung kariernya, berilah Menteri Besar Pahang ini sedikit 'muka' dan penghormatan dan jangan 'telanjangi' dia. Biarkan dia berundur secara terhormat sebagaimana Tun Dr. Mahathir dulu. Jika kita, (terutama yang bercita-cita besar) sanggup menunggu selama ini, kenapa tidak sabar untuk menunggu sedikit masa lagi?

Menteri Besar Pahang akan dipertahankan, bukan kerana dianya Adnan Yaakob, tetapi dianya adalah Menteri Besar Pahang, yang datangnya dijemput biarlah perginya diiring.

Baca juga Khabar Pahang  (Klik Sini)


Sahibul hikayat, sebermula adapun sahaya yang sudah tua ini hanyalah ingin duduk-duduk sahaja bermain dengan cucunda-cucunda sambil bercucuk tanam dan memelihara ayam itik.

Tidaklah lagi hendak oleh sahaya untuk berjuang dan menulis lagi adanya. Namun bagaikan perahu diair memanggil-manggil dan pendayung juga sudah ditangan... kenapa tidak untuk sekali ini sahaya berjuang untuk yang terakhir?

Akhirulkalam, tidaklah akan pedih dan luka sahaya ini oleh pisau dan keris mantan mamak menteri itu, namun akan luka jugalah hati dan jiwa oleh gurisan tinta dan kalam.


12 November, 2014

CAMERON HIGHLANDS DITAWAN?

 



Benarlah bila Menteri Besar Pahang kata ayat 'ditawan' agak luar biasa dan tidak sesuai bahkan keterlaluan. Tidak kiralah apa alasan sekalipun hatta 'metafora', ianya tetap tidak sesuai kerana mampu memberikan persepsi buruk - melainkan pihak Utusan melakukannya secara sengaja dengan niat tertentu.

Awang Selamat, kemudiannya bangun untuk pertahankan Utusan dengan gaya seorang pahlawan terbilang dan kemudiannya terus menerus 'menghentam' Menteri Besar Pahang semahunya tanpa belas kasihan.

Bagaikan 'Pendekar Bujang lapok' dalam film P.Ramlee, Awang Selamat menyerang Menteri Besar Pahang bertubi-tubi. Bahkan segala yang ada sekeliling Menteri Besar seakan hendak di 'tikam'nya, termasuklah pengamal media sosial yang dituduh bermacam-macam.

Kita hanya mampu mengucapkan syabas atas keberanian dan intergriti Awang Selamat, yang mungkin berniat untuk selamatkan Utusan Malaysia dengan meningkatkan jualannya apabila dilihat berani 'menghentam' menteri.

Selepas ini mungkin Awang Selamat juga akan 'menghentam' Menteri Dalam Negeri' kerana isu pendatang asing ini adalah dibawah tanggungjawan KDN. Kita nak juga lihat keberanian Awang Selamat nanti bila berdepan dengan menteri berkenaan. Apakah dia masih berani bersuara atau menyimpan 'telor'nya didalam 'kerandut'nya sendiri.

Mungkin kerana keghairahan beliau untuk 'menghentam' Adnan Yaakob maka Awang Selamat terlupa untuk merujuk isu alam sekitar ini kepada kementerian berkenaan. Semua kesalahan diletakkan keatas Menteri Besar Pahang semata-mata sedangkan masih ramai pihak berkuasa lain yang patut menangung sama tanggungjawab tersebut.

Awang Selamat mencemuh hebat sangatkah Adnan Yaakob? Kita juga ingin bertanyakan Awang Selamat, hebat sangatkah Awang Selamat ini? 

Jika gara-gara keceluparan Awang Selamat membuatkan akhbar Utusan Malaysia disaman, eloklah Utusan Malaysia singkirkan Awang Selamat bagi menyelamatkan Utusan. Jika Utusan Malaysia terpaksa ditutup akibat disaman, tentulah akan menjejaskan 'periuk nasi' banyak pihak yang bertugas dengan Utusan.

Adalah tidak adil jika kerana nila setitik akan merosakkan susu sebelanga. Jika kerana Awang Selamat seorang akan memberikan kesan kepada keseluruhan kakitangan utusan. Justeru, wajarlah pihak pengurusan mengambil tindak untuk 'merehatkan' Awang Selamat sebagai jalan penyelesaian yang selamat.

Sebermula, adapun malam semakinlah larut. Syahadan suara anjing-anjing yang menyalakpun sudah semakin perlahan adanya. Diluar jendela malam yang gelap dan rintik-rintik hujan yang masih menitis perlahan-lahan. Maka sahaya pun inginlah mencari bantal untuk melelapkan mata seketika. 

Bagaimanapun susahlah sahaya hendak melelapkan mata kerana asyik memikirkan tentang Awang Selamat itu jua adanya. Apakah Awang Selamat akan terus dan tetap selamat atau sudah tidak selamat lagi.

Akhirulkalam, maka tinta dan kalam ini akan sahaya simpan kerana entah esok entah lusa sahaya akan menulis semula. 

Sekianlah adanya.






Penafian / Disclaimer

Segala tulisan di dalam blog bERANIKAN hATI ini adalah pandangan dan pendapat bh secara peribadi dan bh tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruh sesiapa. Sebarang tulisan yang didapati ada persamaan adalah secara kebetulan melainkan dinyatakan merujuk kepada mana-mana artikel tertentu. Sebarang rujukan dalam penulisan di blog ini adalah dari bahan-bahan dan sumber-sumber yang diluluskan undang-undang. Sebarang pertikaian terhadap tulisan di blog ini maka sumber dan rujukan asal akan dirujuk, bh tidak akan dipertanggungjawabkan.

Terima kasih

Dari Mana Datangnya...