22 April, 2015

PRK ROMPIN PERMATANG PAUH, MENYERLAH AURA NAJIB




Semua perhatian tertumpu kepada PRK Rompin yang akan berlangsung pada 5hb Mei nanti. 

Bagi BN, PRK ini mesti dimenangi demi mempertahankan maruah dengan mengekalkan majoriti undi 15 ribu bahkan lebih baik jika dapat menambah.

Kita maklum kepimpinan Dato' Seri Najib sedang diuji dengan ujian getir, bukan sahaja oleh pihak pembangkang bahkan oleh UMNO sendiri sama ada secara terang atau bersembunyi.

Tekanan dari mantan PM Tun Dr. Mahathir yang tidak henti-henti juga membuatkan Dato' Seri Najib 'kering tekak' kerana ianya sering diambil kesempatan oleh pembangkang untuk menggoncang kerajaan BN.

Sikap menteri-menteri dan majlis kerja tertinggi UMNO yang membisu setiap kali PM dihentam dari kiri-kanan menimbulkan pertanyaan: dimana sokongan yang diharapkan dari 'pendekar-pendekar' untuk membantu PM?

Timbul persepsi bahawa adanya agenda tersembunyi kumpulan yang menanti peluang untuk menolak jatuh pucuk pimpinan bila saat sesuai tiba.

Justeru, PRK Rompin ini sangat bermakna kepada Dato' Seri Najib dalam perjuangannya untuk membuktikan bahawa kepimpinannya masih relevan dan BN masih diperlukan rakyat.

Kemenangan dengan majoriti besar akan mampu membina kepercayaan rakyat dalam PRK berikutnya di Permatang Pauh kelak dan momentum itu diharap dapat diteruskan menjelang PRU akan datang.

Bagi Pas, memenangi PRK Rompin hanyalah mimpi dan angan-angan, selebihnya hanyalah semata-mata untuk mengecilkan kemenangan BN untuk dicanang sebagai sokongan rakyat kepada kerajaan sudah menurun dan rakyat sudah menolak BN.

Pesuruhjaya Pas Pahang sendiri dalam satu kenyataannya menyatakan bahawa penyertaan Pas dalam PRK Rompin ini bukanlah untuk mengharapkan kemenangan. Jika bukan ada harapan untuk menang apa perlunya Pas bertanding?

Pengundi Rompin terutama golongan muda sepatutnya lebih bijak memilih, antara intan dan kaca... antara perjuagan sebenar UMNO yang ikhlas dan perjuangan Pas yang sia-sia.

Keputusan PRK nanti, Rompin masih tetap milik UMNO BN dan besar kemungkinan pengundi Permatang Pauh juga berubah arah kerana sedar harapan selama ini hanya bagai kiambang, pucuk tak kesampaian dan akar tak jejak.