25 May, 2015

BILA TUN 'M' BERSUARA...



Kebelakangan ini semakin menjadi-jadi Tun 'M' mengkritik Perdana Menteri. Jikalaulah ianya sebuah lautan, pastinya ia tidak akan bertepi. Setiap tindakan DS Najib segalanya dipandang buruk. Semuanya salah belaka.

Pada peringkat awal, saya menyangka ianya umpama teguran seorang ayah terhadap anaknya, bagaikan pepatah melayu; sayangkan anak, tangan-tangankan. Namun semakin lama ianya kelihatan semakin kasar bahkan, bapa tiripun tidak melayan anak tirinya sekasar ini.

Keadaan dihangatkan lagi oleh juak-juaknya yang digelar 'blogger elite' yang setiap hari membawa berita yang memberi kesan buruk kepada DS Najib. Kita tidak usah tanya kenapa mereka beria-ia benar menghentam DS Najib kerana pasti ada sesuatu yang akan mereka dapati kelak. Mana lagi ada perjuangan yang benar-benar ikhlas selain dari mengharapkan balasan atau ini adalah kerana membalas jasa atau mengenang budi. Membayar kembali apa yang sudah diterima dahulu.

Tidak peduli apa alasan sekalipun, apa yang Tun 'M' lakukan ini bukan setakat merosakkan DS Najib sahaja bahkan ianya akan memusnahkan UMNO itu sendiri. Soalnya kenapakah Tun 'M' sanggup melakukan demikian untuk memberi tekanan supaya DS Najib berundur?

Apakah agenda sebenar Tun 'M' yang kita semua tidak ketahui? Apakah hanya dengan berundurnya DS Najib UMNO dan  kerajaan akan kekal dan stabil? Begitu saja tanpa perlu melakukan apa-apa selain itu? Apakah sedemikian mudah membaiki segala kerosakan yang telah dilakukan selama ini?

Tiada siapa yang dapat melihat dan memastikan masa depan...apa yang akan terjadi nanti, hatta 'Nujum Pak Belalang' pun tidak dapat meneka apa 'didalam tangan' Tun 'M'. Bagaimanapun, apabila Tun 'M' sudah bersuara, DAP dan pembangkang pun bolehlah menari dan bergembira kerana segala tugas-tugas mereka akan dilakukan oleh Tun 'M'.

Mungkin Tun 'M' mudah lupa dan sudah lupa bahawa musuh kita tidak pernah leka dan akan mengambil kesempatan pada bila-bila masa saja. Politikus yang jadi tikus?





17 May, 2015

POLITIK ERA TUN 'M'.... MASA NAJIB BANGKIT SUDAH TIBA




Ketika Tun 'M' masih Perdana Menteri, jam 8.00 malam ada waktu saya menunggu dihadapan tv untuk mendengar apa kenyataan yang Tun akan umumkan. Setiap kali beliau muncul di kaca tv, pasti membawa sesuatu. Segalanya sensasi dan sangat bererti, justeru kita akan sentiasa menanti-nanti bilakah beliau akan muncul.

Kini, setelah lebih 22 tahun menjadi Perdana Menteri beliau masih jadi 'public figure'... bukan saja jadi kenangan dan ingatan bahkan jadi sebutan. Tun Mahathir dan Malayisa tak dapat dipisahkan.

Mewarnai politik dan kehidupam ketika itu adalah Sammy Vellu. Kemunculannya dikaca tv juga dinanti-nantikan. Bahasa Melayu-nya yang sering mengelirukan juga jadi sebutan sehingga kini. Siapa yang boleh lupa dengan kata-katanya antaranya; "... remaja masa kini suka hisap 'dada'....".. dipersilakan xxx naik kepentas untuk membuka kain..".. dan banyak lagi.

Lim Keng Yaik seorang lagi menteri dizaman Tun 'M' yang selalu jadi tumpuan. Apabila meng-interview selalunya wartawan akan menjarakkan sedikit dari beliau kerana bimbangkan 'percikan'nya membasahi muka.

Dizaman Tun, tidak banyak 'kebebasan' sebagaimana sekarang ini. Tidak hairanlah jika negara luar memandang Malaysia menyekat kebebasan akhbar. Mana ada siapa yang berani melakukan demonstrasi jalanan seperti sekarang. Setiap amarannya sangat ditakuti, tidak hairanlah pihak pembangkang menggelarnya sebagai 'maha zalim' dan 'maha firaun', namun ianya sangat berkesan untuk menghalang kekacauan.

Tun seorang pemimpin yang tegas dan berani. Beliau tidak kisah menyanggah siapa saja dan dimana saja. Selain itu beliau juga seorang yang bijak berbicara dan 'mengilas' kata. Pernah khabarnya suatu ketika, di Indonesia,  beliau disoal sinis oleh wartawan yang menganggapnya sebagai 'Soekarno' kecil namun beliau menjawab selamba bahawa di Malaysia pun beliau dianggap 'Mahathir' kecil.

Kini waktunya sudah berlalu. Biarlah beliau tinggal diam dan tenang menikmati hari tuanya dalam damai. Jangan ada sesiapa yang pergunakannya untuk kepentingan diri. Biarlah sejarah akan mencatatnya dengan kisah yang baik-baik dan menarik belaka. Jangan buat rakyat menyingkap bahagian 'hitam' dalam sejarahnya dan disebut-sebut.

Kita sayang Tun dan kita ingin terus menghormati Tun. Istirehatlah dengan tenang dan damai. Kita juga mahukan DS Najib lebih lantang, berani dan perkasa seperti Tun untuk terus dihormati. Jika tidak, bahtera ini akan kehilangan nakhoda..... Masa untuk DS Najib bangkit sudah tiba.


15 May, 2015

MEMILIH ANTARA TUN 'M' DAN DS' N'






Rakyat, khususnya ahli UMNO sudah bagai tidak dapat mengelak dan terpaksa memilih antara 2. Diantara DS Najib dengan Tun Dr. Mahathir, mantan Presiden dan Perdana Menteri yang namanya sudah sinoniom dengan negara Malaysia.

Diluar negara, bila orang ingat Dr. Mahathir, mereka akan ingat Malaysia. Demikian juga, bila ingat Malaysia mereka akan ingat Dr. Mahathir. Bukan sedikit jasa yang dicurahkan oleh Tun kepada bumi tercinta ini.

Saya sudah waras untuk berfikir ketika Tun menduduki kerusi PM ketika itu, menggantikan Huseein Onn. Saya tertanya-tanya mampukah beliau melaksanakan tugasnya sebagai pemimpin nombor satu negara. Namun tidak lama, keraguan menjadi kebingungan seketika apabila perkara pertama dilakukannya adalah 'menyeragamkan' waktu diantara Semenanjung dengan Sabah, Sarawak yang berbeza 30 minit sebelum itu. Saya sedar bahawa insan bernama Mahathir ini sangat pentingkan waktu.

Selain itu, tindakan kecil dan sederhana yang turut memberi impak besar yang dilakukan adalah menurunkan nilai Ringgit Malaysia berbanding Singapura. Serta merta arus ekonomi Malaysia/Singapura berubah. Rakyat Malaysia tidak lagi ke Singapura untuk ber-shopping sebaliknya rakyat Singapura yang lebih banyak ke Malaysia bagi tujuan berkenaan.

22 tahun mentadbir negara banyak yang telah Tun lakukan. Jika hendak dibilang, dengan jari bersama jari kaki pun masih belum cukup untuk mengiranya. Namun segala yang dilakukan bukanlah dengan mudah. Segalanya penuh dengan cabaran dan dugaan bahkan kadagkalan disertakan tohmahan.

Berapa ramai yang menyindir bila projek kereta nasional ingin dilaksanakan. Berapa ramai yang membantah apabila Putrajaya dibangunkan.... menara berkembar Petronas dan banyak lagi. Segalanya dilakukan dengan perjuangan. Namun akhirnya Tun dapat melaksanakannya dengan jaya dan membuktikan kepada dunia bahawa beliau, rakyat dan negara Malaysia .... mampu melakukannya.

Untungnya pada zaman itu teknologi telekomunikasi belum cukup berkembang dan media sosial tidak menjadi saluran rakyat menyatakan pendapat dan bantahan. Jika Tun memimpi negara pada ketika ini, mungkin beliau juga akan merasa tertekan oleh desakan rakyat sebagaimana yang diterima oleh DS Najib.

Saya blogger pencacai yang tidak langsung disedari keujudannya dan tidak juga diperhatikan oleh Tun M. Justeru tulisan ini bukanlah bertujuan untuk mendapat perhatian beliau sama sekali. Saya hanyalah seorang blogger yang turut juga digelarkan 'bangang' oleh DS Najib bersama-sama yang lain suatu ketika tidak lama dulu.  Justeru saya juga tidak terhutang apa-apa kepada mereka. 

Sokongan saya kepada siapa akan saya tentukan bila tiba masanya. 

Kecewa? 

Ya ! Dah lama dahh..... Bukan saja pada DS Najib, pada Shabery Cheek juga.

Sesiapapun tak perlu bimbang, tulisan ini tidak akan memberikan kesan.



14 May, 2015

APA YANG TUN 'M' NAK ?




Ramai yang keliru dan tidak menentu hala tuju apabila Tun M terus menerus 'menghentam' DS Najib hatta ketika PRK Permatang Pauh, sehari sebelum hari membuang undi. Mungkin BN tidak akan menangpun walau tanpa kenyataan Tun M mengenai Tabung Haji, tetapi setidak-tidaknya BN mampu meraih lebih banyak undi dari apa yang didapati.

Berbagai pendapat diantara kita namun yang nyatanya kita terbahagi kepada dua; penyokong DS Najib dan penyokong Tun M. Tidak peduli atas alasan apa kita menyokong sekalipun namun hakikatnya kita terbahagi dua.

Saya mula menulis blog ini ketika zaman Pak Lah sebagai sokongan dan dedikasikan kepada Tun M, itu saya tidak ragui sama sekali. Bagaimaanapun kini pandangan saya berbeza kerana apa yang saya harapkan dari Tun M tidak saya dapati.

Saya mengharapkan Tun M sebagai seorang negarawan dan arkitek pembina negara bertindak lebih wajar dalam menangani masalah kepimpinan DS Najib. Namun apa yang berlaku beliau seakan-akan sememangnya bukan bertujuan untuk mengajar atau menasihat, sebaliknya beliau lebih dilihat sebagai 'pembunuh' yang tiada belas kasihan.

Sudah pasti tiada siapa yang tahu apa sebenarnya ada dalam fikiran Tun M. Kerana itu orang menduga-duga apakah rencananya selepas jatuhkan Pak Lah dan DS Najib (jika berjaya). 

Ramai yang beranggapan bahawa beliau 'suka' agar TS Muhyiddin 'ditabal' sebagai PM... untuk seketika ... sebelum dijatuhkan pula. Ibarat berjagung-jagung dahulu sementara menanti padi masak. Banyak pendapat mengatakan bahawa Tun M mahukan 'warisnya' mewarisi 'takhta' yang telah beliau duduki sebelum ini.

Ada soalan; kenapa? Apakah tidak ada orang lain yang layak selain 'warisnya'? Fikiran buruk berkata; lebih mudah menutup bangkai dan menghalangnya dari berbau oleh orang yang tahu dimana bangkai itu berada.

Begitu banyak soalan-soalan yang Tun M soalkan kepada DS Najib sehinggakan ada antaranya diketahui bahawa ianya langsung tanpa fakta. Begitu banyak juga jawapan-jawapan yang diberikan oleh DS Najib namun umum tidak mengendahkannya kerana menganggap bahawa jawapan itu hanyalah satu penipuan semata-mata.

Siapa yang benar dan siapa yang salah bukan lagi jadi persoalan kita ketika ini. Kerana kita mesti akui bahawa apa yang berlaku ketika ini sememangnya memecahkan dan memberikan kesan besar kepada parti dan bangsa Melayu sendiri.

Jika boleh, kita mesti merayu agar pertelingkahan ini dihentikan segera tanpa sebarang syarat. Untuk kepentingan anak bangsa kita dimasa akan datang. Setiap 'serangan' dari Tun M pasti akan memberi bekas kepada DS Najib. Demikian juga, setiap penafian dan usaha DS Najib mempertahankan dirinya akan tetap mencalar imej Tun M sebagai negarawan yang kita patut hormati.

Lupakan sejarah silam... sejarah mencatat tiada siapa yang Tun M 'sukai' selama karier politiknya. Beliau tak 'suka' Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn ketika mereka PM. Beliau tak 'sukai' Tun Musa Hitam dan Tun Ghaffar serta DS Anwar ketika beliau menjadi PM. Beliau juga tidak 'suka' Pak Lah dan kini DS Najib ketika mereka jadi PM. 

Apa yang Tun M nak?

Bagaimana kita akan tulis sejarah negara dan bangsa kita nanti?

UMNO membusuk hingga ke usus!

Walau apa sekalipun jawapannya, kita pengamal media sosial perlu berusaha menghentikan pertelingkahan ini dari terus merebak. Jangan biarkan menjadi barah. Jangan mencurah minyak pada api yang sedang menyala. Kerana walau disebelah mana kita sekalipun, kita hanyalah 'pencacai'. Mungkin ada orang lain yang akan makan isi, namun kita tetap umpama 'anjing' pemakan tulang yang dicampak buang.


Blogger Bangang !


02 May, 2015

#PRKRompin : KEMENANGAN ADALAH PASTI UNTUK BN




Sudah beberapa hari kempen PRK P091 Rompin berlangsung. Menurut mereka yang berada disana, suasananya terasa hambar. Mungkin kerana Pas sendiri yang meltakkan calonnya merasakan menang adalah tidak mungkin sedangkan kalah adalah dalam tangan.

Mungkin juga kerana calonnya bukanlah lawan yang setanding, kerana calon yang BN letakkan dilihat sangat berwibawa. Selain dari pernah jadi Adun di Bukit Ibam dan Tioman, beliau juga adalah mantan Timbalan Menteri Besar Pahang. Di peringkat nasional, beliau adalah Ahli Majlis Tertinggi UMNO pada suatu ketika.

Rekod calon BN semasa beliau bertugas adalah cemerlang. Bagi kalangan veteran, beliau ibarat otai yang masih berbisa. Manakala dikalangan remaja, sentuhannya juga dapat menarik sokongan mereka. Banyak pihak berpendapat beliau adalah calon pilihan terbaik bagi menggantikan Allahyarham Dato' Jamaluddin Jarjis.

Kemenangannya juga adalah satu kepastian, cuma yang perlu beliau lakukan adalah mempertahankan majoriti kemenangan dan jika boleh mengumpul lebih banyak undi bagi mencatat kemenangan yang bergaya.

Calon pembangkang sedar mereka tiada harapan untuk menang. Calon yang diletakkan adalah muka baru yang langsung tidak ada kekuatan dan sokongan. Bahkan dari kalangan Pas sendiri, pencalonannya dipertikaikan. Cuma, untuk tidak menampakkan perpecahan dalam parti, mereka diamkan sahaja.

Tidak semua undi 'blok' Pas akan dapat diraih oleh calonnya Ustaz Nazri Ahmad. Pertama kerana perpecahan sokongan dalam Pas sendiri sebagai protes terhadap calon dan kedua adalah kerana penyokong pembangkang juga akan mengundi calon BN atas alasan mengenang budi dan jasanya suatu ketika dahulu.

Kisah persahabatan akrab antara Dato' Hasan dengan Dato' Fauzi Abdul Rahman Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Pahang sudah diketahui ramai. Secara rahsia PKR Pahang pasti akan menjuruskan undinya kepada calon BN tanpa menyentuh hati 'sahabat' Pas nya. Ini juga mungkin sudah disedari oleh Pesuruhjaya Pas Negeri Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man namun beliau juga tidak mampu berbuat apa-apa kerana menjaga hubungan 3 penjurunya antaranya, Dato' Hasan dan Dato' Fauzi.

Perayu undi tempatan langsung tidak menjalankan tugasnya dengan bersungguh-sungguh. Kerana itulah tidak banyak bendera dan poster Pas berkibar. Yang diberitakan berkerja merayu undi bagi calon Pas hanyalah mereka yang datang dari luar, yang tidak mengetahui apa-apa tentang kisah dalaman.

Undi masyarakat Orang Asli juga khabarnya masih tetap teguh terhadap BN walaupun pihak pembangkang cuba juga menghasut mereka. Dalam pertemuan dengan beberapa penduduk perkampongan Orang Asli di sekitar Ibam, jelas mereka akan tetap memberikan sokongan dan kepercayaan mereka terhadap BN.

Jika tidak terlalu kasar, mungkin boleh kita katakan bahawa peraih undi Pas ini tertipu dengan mainan dan konspirasi pihak atasan mereka. Tidak salah agaknya jika kita ucapkan kejayaan Dato' Hasan calon BN sebagai ahli Parlimen Rompin.


~




Penafian / Disclaimer

Segala tulisan di dalam blog bERANIKAN hATI ini adalah pandangan dan pendapat bh secara peribadi dan bh tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruh sesiapa. Sebarang tulisan yang didapati ada persamaan adalah secara kebetulan melainkan dinyatakan merujuk kepada mana-mana artikel tertentu. Sebarang rujukan dalam penulisan di blog ini adalah dari bahan-bahan dan sumber-sumber yang diluluskan undang-undang. Sebarang pertikaian terhadap tulisan di blog ini maka sumber dan rujukan asal akan dirujuk, bh tidak akan dipertanggungjawabkan.

Terima kasih

Dari Mana Datangnya...