Datuk Rosli Mat Hassan wakil Terengganu
1. Bagi mereka yang meminati mengikuti perkembangan politik tentu tidak dapat lari dari mengikuti Perhimpunan Agung UMNO 2012 yang sedang berlangsung sekarang ini. PAU ini sangat penting dalam membayangi keupayaan UMNO BN menghadapi PRU13 nanti. Seperti yang ramai mengakui kekalahan banyak kerusi kepada pembangkang dalam PRU12 lalu bukanlah semata-mata kerana kekuatan pihak pembangkang, namun ianya adalah kerana kelemahan UMNO BN itu sendiri.
2. Saya tertarik dengan ucapan dari wakil Terengganu, Datuk Rosli Mat Hassan yang antara lain menyatakan bahawa UMNO mesti di masyarakatkan (atau di rakyatkan). UMNO bukanlah parti yang hanya untuk orang-orang tertentu atau hanya untuk kasta tertentu sahaja.
3. Saya tidak melihat dibahagian lain namun di bahagian yang saya menjadi ahli perkara demikian berlaku dengan jelas dan nyata. Apabila seseorang ketua cawangan rakus dalam mengekalkan jawatannya untuk menjadikannya hak milik peribadi hingga mati maka mana-mana calon yang difikirkan layak dan berupaya untuk mengambilalih jawatannya akan dengan segera di'cantas'. Ini akan membuatkan orang-orang muda beranggapan bahawa UMNO hanya untuk orang tertentu sahaja.
4. Untuk memastikan akan kekal jadi ketua selama-lamanya, keahlian UMNO dicawangan rela diperkecilkan dengan membuang mereka-mereka yang berpotensi untuk menentang. Ini yang membuatkan UMNO semakin lemah kerana ianya sudah jadi milik peribadi dan keluarga. Cuba perhatikan cawangan yang Si Bapanya jadi Ketua, Ibunya jadi Ketua Wanita dan anak lelaki jadi Ketua Pemuda, seolah-olah orang lain tidak ujud dalam cawangan berkenaan.
5. Begitu juga apabila mengadakan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, hanya orang-orang tertentu sahaja yang dimaklumkan untuk menyertainya. Saya berpendapat bahawa dalam menganjurkan aktiviti kemasyarakatan pemimpin UMNO cawangan tidak harus meminggirkan sesiapapun dari kampong yang cawangannya wakili hatta mereka itu adalah penyokong atau ahli pembangkang. Sikap kita melebelkan orang itu parti sana telah membuatkan mereka lebih jauh dari UMNO sedangkan undi mereka juga sangat penting dalam setiap PRU.
6. Justeru, pemimpin-pemimpin UMNO hasrus berfikir dan berusaha untuk memasyarakatkan UMNO supaya UMNO BN akan kembali jadi darah daging dan semangat perjuangan rakyat terutamanya orang-orang Melayu yang masih memerlukan bimbingan dari kerajaan khususnya dalam mengembangkan ekonomi.
7. Pemimpin UMNO yang sedang berkuasa hendaklah sentiasa berfikir bagaimana dapat membantu membangunkan orang-orang Melayu dari semua segi. Janganlah slogan 'Hidup Melayu' hanya untuk dijeritkan bagi menaikan semangat sahaja namun pada hakikatnya pertolongan dan projek-projek masih diberikan kepada 'orang lain'.
8. Masih banyak yang pemimpin UMNO mesti perbaiki sekiranya ingin terus popular dan menjadi pejuang bangsa justeru tidak hairanlah apabila pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini ada ahli yang masih setia dan sanggup menitiskan airmata dalam mengenang masalalu dan mengimbau masadepan UMNO, tetapi berapa ramai yang peduli?
No comments:
Post a Comment
Sebarang komen sangat dialu-alukan selagi relevan kepada isu yang dibincangkan. Anda bebas menyatakan pendapat, namun ianya harus dipertanggungjawabkan. Menyiar, menyekat dan memadam komen adalah hak mutlak dan budibicara pemilik blog. Seperti kata Voltaire: “I do not agree with what you have to say, but I'll defend to the death your right to say it.”