22 November, 2011

BOLASEPAK KITA MAMPU KEMBALI GEMILANG

Pasukan Bolasepak Sekolah Kebangsaan Pusat Pekan pada tahun 1960an.



Kemenangan Harimau Muda Malaysia mengatasi Garuda Muda Indonesia di Sukan Sea di Stadium Gelora Bung Karno membuatkan hati seluruh rakyat Malaysia berbunga. Tanpa mengira kaum dan keturunan serta agama dan politik, kita semua meraikan kemenangan itu dengan satu semangat, '1Malaysia'.

Sepakan penalti Badrol Bakhtiar telah berjaya memisahkan kekalahan dari kemenangan. Dalam perjuangan hanya ada yang kalah dan menang. Seperti biasa pasukan akan dipuji apabila menang dan dikeji apabila tewas. Namun bagi saya perlawanan itu adalah luar biasa. (Klik Sini).

Saya bermain bolasepak mewakili sekolah sejak dariah 3. Ketika darjah 5 dan 6, mewakili 'Sekolah Kebangsaan Pusat Pekan' menang diperingkat daerah bahkan mewakili Pahang Timur ke pertandingan MSSP. (Gambar diatas dirakam pada tahun 60an).

Saya memang meminati bolasepak. Namun prestasi hambar pasukan kebangsaan kebelakangan ini telah telah mematikan minat saya terhadap bolesepak kebangsaan. Bagaimanapun saya kembali teruja dengan persembahan yang ditunjukkan pasukan Harimau Muda semalam. Biarpun takdirnya mereka tewas, saya tetap memberikan sanjungan, atas semangat dan keupayaan yang mampu dibuktikan setelah sekian lama bolasepak negara gersang.

Biarpun ketinggalan dengan jaringan awal Indonesia, namun semangat untuk menang dan kesungguhan jelas kelihatan. Saat-saat akhir separuh kedua memperlihatkan pemain kita bagaikan hilang punca, namun pertukaran pemain telah menyuntikan semangat untuk kembali bertahan dan mengusai permainan.

Fahmi boleh diangkat sebagai pemain cemerlang dalam perlawanan tersebut. Dia nampak tenang termasuk ketika menentukan kemenangan dalam sepakan penalti.

Saya yakin bolasepak negara mampu kembali gemilang dan pasukan negara akan kembali digeruni lawan seperti seperti zaman kegemilangan Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, Santokh Singh dan Arumugam. Kita terpaksa mengambil masa lama untuk menuai buah dari pohon yang kita tanam. Akademi sukan dan beberapa program memajukan sukan sudah mula menampakkan hasilnya. Malaysia mampu kembali dikenang seperti di era Pestabola Merdeka dimana negara Jepun, Korea dan China juga tunduk hormat kepada kita.

Kita pasti akan mampu meraih kejayaan asal saja mereka yang memeggang kuasa jujur dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. Jangan ada rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Jangan ada petualang yang sangup menikam belakang dan menjual perlawanan, jangan ada duri dalam daging. Kita mampu memberikan yang terbaik jika didalam kepala kita hanya ada fikiran yang baik.

Kita dengar beberapa kisah buruk mengenai kontigen sukan kita di Indonesia. Antaranya ini (Klik) Ahli sukan yang datang dengan belanja sendiri tetapi pegawai sukan datang untuk makan angin dan 'senggama'. Kerajaan harus pantau. Menteri Sukan kena buka mata dan telinga. Kalau setakat buka mulut luas-luas sampai masuk lalat tentu tak guna, kan?

Keterangan gambar di atas; Cikgu Ishak (Allahyarham) dan cikgu Arifin Said (kini Pensyarah Universiti) Sarifuddin Ghani (Dato')KPP, Khairul Anwar, Zakaria, Ayub, Haris Fadhilah, Mohd Hayat, Zainuddin Mat Zain, Zakaria, Mohd Redzuan,.....Basri Yusuf dan saya ......yang sudah jadi Datok.  Yang tinggal hanya cebisan kenangan masa silam!


No comments:

Post a Comment

Sebarang komen sangat dialu-alukan selagi relevan kepada isu yang dibincangkan. Anda bebas menyatakan pendapat, namun ianya harus dipertanggungjawabkan. Menyiar, menyekat dan memadam komen adalah hak mutlak dan budibicara pemilik blog. Seperti kata Voltaire: “I do not agree with what you have to say, but I'll defend to the death your right to say it.”