08 October, 2015

JATUHKAN PEMIMPIN, GUGAT KESTABILAN

Gambar Hiasan: Burung pemakan bangkai


Sebuah portal pro BN antara yang terkemuka menyiarkan artikel yang dianggap berniat jahat memburukkan seorang Menteri Besar. Itu disusuli artikel dengan penafian oleh Setpol Menteri Besar berkenaan tidak berapa lama selepas artikel pertama disiarkan.

Konon isu berkenaan diangkat dari sebuah blog lain, yang tak ternama namun ada keraguan bagaimana dalam waktu yang sangat dekat portal berkenaan mendapat maklumat dari sebuah blog yang tak ternama itu? Apa hubung kaitnya?

Sepatutnya waktu-waktu yang kita ada ini sebaiknya digunakan untuk terus mengukuhkan Perdana Menteri yang sedang hebat dihentam dari kiri dan kanan, depan dan belakang, dan bukannya membangkitkan isu yang boleh melemahkan parti UMNO.

Kita tidak tahu apa niat sebenarnya portal berkenaan kerana niat mereka ada didalam hati mereka sendiri, bagaimanapun apa yang dilakukan itu nyata mampu melemahkan parti dan kedudukan Perdana Menteri, melainkan itulah niat tersembunyi mereka.

Di luar sana masih ramai kalangan cybertrooper penyokong BN yang masih menghentam Perdana Menteri, apa yang portal itu lakukan untuk meredakannya? Itupun jika mereka menyayangi parti dan Perdana Menteri selaku ketua negara.

Kita percaya dalam keadaan Perdana Menteri menghadapi berbagai krisis, beliau tidak punya banyak masa dan pilihan selain dari mengekalkan keadaan yang ada agar terus stabil dan tidak ada usaha mengenyahkan beliau dari jawatannya.

Jika kita sayangkan parti, agama, bangsa dan negara, kita patut merapatkan barisan dan ulkhwah sesama kita dan bukannya mencari perselisihan serta membangkitkan isu-isu yang boleh memecahbelahkan sesama kita.

Portal-portal pro BN serta cytro-cytro pro BN perlu kembali ke pangkal jalan. Perlu bersatu. Jangan lagi ada kem Tun M dan DS N dalam UMNO kerana yang akan meraih keuntungan dari perpecahan kita adalah musuh kita selama ini, DAP dan pembangkang. Melainkan kita dengan sedar atau tanpa sedar jadi alat kepada pembangkang. Pencacai 'pemakan bangkai' harus insaf dan sedar diri.

Ada kalangan cybertrooper yang konon menyokong pemimpin tertentu memuat-naik artikel berkenaan dalam masa sama mengutuk orang lain konon pemakan dedak dan tak menunjukkan sokongan kepada pemimpin berkenaan. Mungkin beliau belum cukup bijak untuk sedar bahawa beliau sudah jadi alat mer-viralkan isu berkanaan. Pencacai 'pemakan bangkai' harus insaf dan sedar diri.

Saya bukan taksub kepada individu tetapi sayangi pemimpin. Pemimpin datang dan pergi, mereka datang sendiri dan biarlah mereka pergi sendiri dengan kehendak Allah.






25 August, 2015

SIAPA MANGSA DAN SIAPA PEMANGSA?

Yang lama kita tukar dengan yang baru.... mungkin itu yang diperkatakan.


Tahniah kepada DS Zahid Hamidi yang berani menerima perlantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia menggantikan TS Muhyiddin Yassin yang terpaksa direhatkan. Saya sudah menulis mengenainya menurut sudut pandangan saya sendiri, baca di 'Ular Menyusur Akar'.

Mungkin sudah demikian suratan takdir...diangkat martabatnya - kepada DS Zahid Hamidi, dan terbuang - buat TS Muhyiddin Yassin.

Apa yang kita lihat dari apa yang berlaku ketika ini? Tentunya kita ada pandangan berbeza-beza namun kita harus melihat politik itu dari pandangan serupa, iaitu politik itu bersegi-segi. Dari segi mana atau sudut mana sekalipun kita berada, kita melihat matlamat yang sama... mencapai cita-cita.

Apapun kita sepatutnya turut berpuashati kerana pemimpin berumur didalam UMNO digantikan dengan yang lebih muda. Ini juga peremajaan dalam parti yang akar umbi inginkan selama ini.

Ketika DS Hishamuddin meninggalkan kerusi Ketua Pemuda, tempatnya diisi oleh KJ yang nampaknya dengan mudah menyingkirkan DS Mukhriz. Jadi ke mana dan bagaimana DS Mukhriz boleh mendapat tempat untuk menghampiri kerusi Perdana Menteri?

Ayahanda 'Mantan' memang sangat berharap DS Mukhriz dapat mencapai kerusi berkenaan dalam waktu terdekat, namun halangan nampaknya sangat banyak. Justeru, bagaimanakan halangan-halangan itu dapat dikurangkan? jawapan mudahnya adalah pecahkan dan singkirkan...

Tangan manakah yang bijak mencaturkan politik Malaysia ini ...yang mampu melakukan dalam diam tanpa disedari dan dipersalahkan?

Apabila TS Muhyiddin dan DS Shafie Afdal tersingkir dari jawatannya dalam kerajaan, pasti itu akan turut menjejaskan jawatannya didalam parti. Inilah apa yang sering terjadi dalam UMNO dan pasti akan terjadi lagi kepada kedua mereka ini.

Jika benarlah demikian, bermakna DS Zahid Hamidi akan mengisi jawatan Timbalan Presiden, maka tempatnya serta tempat DS Shafie Afdal akan kosong. Siapakah yang akan mengisi kekosongan berkenaan? Siapakah yang sangat berkehendakan kerusi berkenaan? Bukankah peluang akan luas terbuka untuk DS Mukhriz? Hehehe.... inilah kesenian dalam politik!

Mungkin ada yang melihat bahawa masih ada musuh dan halangan bagi DS Mukhriz, iaitu KJ, namun apabila KJ membawa kecenderungan dan hasrat Pemuda untuk menyokong TS Muhyiddin dan DS Shafie maka itu juga membawa KJ ke dalam kapal yang sama, yang sudah hampir tenggelam.

Mungkin kita sudah boleh turut mengucapkan selamat jalan atau selamat tinggal kepada KJ. Tahniah kepada DS Mukhriz kerana laluan semakin cerah untuknya. hahaha.... inilah seni dalam politik! Siapa yang kena main? Kenapa 'Mantan' sudah mendiamkan diri?

Siapa mangsa dan siapa pula pemangsa?


Bacaan cadangan:


16 August, 2015

ULAR MENYUSUR AKAR...




Sengaja saya menunggu sedikit lama untuk memberi respon kepada keadaan politik semasa. Perihal pemecatan beberapa orang menteri kabinet yang menjadi isu hangat semasa. Saya menunggu sehingga keadaan menjadi sedikit reda sebelum membuat komen.

Pemecatan TS Muhyiddin Yassin dari Timbalan Perdana Menteri serta DS Shafie Afdal antara orang kuat dalam parti UMNO dari jawatan menterinya adalah wajar. Kerana itu adalah hak mutlak Perdana Menteri. 

Presiden UMNO sebagai 'abang besar' dalam parti komponen Barisan Nasional lazimnya setelah memenangi Pilihanraya Umum akan dilantik sebagai Perdana Menteri dengan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agung.

Kemudian terpulanglah kepada Perdana Menteri untuk menentukan jemaah menterinya dengan perkenan Yang Di Pertuan Agung.

Saya mempertahankan tindakan DS Najib terhadap pemecatan yang dilakukannya berdasarkan hak mutlak beliau memilih dan menentukan jemaah kabinet tanpa menafikan hak ahli UMNO dengan dengan menyingkirkan mereka dari jawatan didalam parti. Mereka masih sah dan masih dapat meneruskan perjuangan mereka didalam parti, sekiranya mereka masih ikhlas memperjuangkan dasar-dasar parti.

Saya sudah menulis mengenai tindakan 'membersihkan' kabinet DS Najib tidak lama dulu. (Baca DS NAJIB : BANGKIT MELAWAN.. SINGKIRKAN... ATAU BERUNDUR). Sesiapapun didalam keadaan sedemikian harus dan mesti melakukan tindakan serupa iaitu bangkit melawan serta menyingkirkan sesiapa yang tidak sehaluan dengannya atau mengambil tindakan mengalah dan berundur. 

Justeru, DS Najib telah melakukan tindakan yang betul dalam mempertahankan dirinya. Saya puji keberanian beliau yang tentunya dalam keadaan yang sangat sukar dalam membuat keputusan.

DS Najib tidak perlu bimbang kerana terpaksa memecat timbalannya kerana sebelum ini, 'mantan' telah terlebih dahulu dan mencipta sejarah memecat beberapa timbalan-timbalan beliau. Dan pemecatan terakhir yang beliau lakukan adalah memecat DS Anwar dengan alasan dan tuduhan meliwat.

Pemecatan DS Anwar menimbulkan perpecahan besar didalam UMNO sehingga ramai yang mengikuti beliau sehingga tertubuhnya PKR. Sehingga tercatatnya dalam sejarah ianya parti yang paling kuat dalam mengamalkan 'kronism'. Betapa tidak apabila isteri, anak, menantu semuanya berjawatan penting didalam parti dengan mengenepikan hak orang lain.

DS Anwar dan kroninya serta dibantu 'anjing-anjingnya' akan tetap dan terus melawan sehingga beliau mendapat apa yang dihajatnya, iaitu menjadi Perdana Menteri Malaysia walau dengan apa cara sekalipun. Kerana itu tidak hairanlah mereka sentiasa menganjurkan berbagai tunjuk perasaan dengan tujuan melemahkan kerajaan.

Tunjuk perasaan jalanan sememangnya tidak digemari oleh 'mantan' ketika beliau masih berkuasa. Namun amat menghairankan apabila 'si-mantan' tiba-tiba menyuarakan dan bersetuju agar rakyat mengadakan tunjuk perasaan jalanan untuk menjatuhkan Perdana Menteri setelah melihat DS Najib tetap teguh mempertahankan kedudukannya.

Mungkin 'mantan' menganggap bahawa DS Najib sama lemahnya dengan 'Bapak Mertua' dan akan segera berundur apabila didesak. Namun tentunya 'mantan' tersilap dan sangat kecewa.

Walauapa sekalipun alasan yang diberikan namun rakyat melihat ketidakpuashatian 'mantan' hanyalah semata-mata untuk memastikan kedudukan 'anakanda' terjamin untuk tempat sebagai Perdana Menteri disamping terus menjamin 'kroni' akan tetap mendapat bahagian masing-masing dari 'harta rampasan perang'.

Kepada meraka yang terpecat, teruskanlah berjuang didalam dan demi parti keramat UMNO ini, atau jika meraka sangat kecewa maka bolehlah berundur dan 'menyeberangi sempadan'. Sejarah orang kecewa banyak mencatatkan bahawa jalan terakhir adalah menyertai parti lain dan memburuk-burukan UMNO parti yang telah memberikan mereka tempat dan kehormatan sebelum ini.

Jika benar berani, teruskan berjuang didalam UMNO... hidup dan mati didalam UMNO.. atau jadilah 'si-bacul' yang pengecut dan meninggalkan parti. 'Ular menyusur akar tidakan hilang bisanya'.

Baca juga:









30 July, 2015

TS ZAINUDDIN MAIDIN DAN SURAT KHABAR LAMA

'... yelek !!.....' 


1. Merujuk kepada sebuah rakaman video oleh 'KiniTV' dengan tajuk 'Pemecatan demi panjangkan hayat politik Najib - Zam' - yang mengulas tentang tindakan DS Najib dan pemecatan TS Muhyiddin Yassin.

2. Sah mantan 'mamak menteri' ini meroyan dan melalut serta ternyata adalah pentaksub 'Tun M'. Bagaimanapun beliau memuji keberanian DS Najib apabila bertindak 'merehatkan' TS Muhyiddin kerana tidak sehaluan dengan beliau serta 'men-dropkan' (bahasa mantan wartawan dan mantan mamanda Menteri Penerangan) DS Shafie Afdal dari jawatannya dalam kabinet.

3. Bukankah Tun M juga pernah melakukan sedemikian? Bahkan berkali-kali dan beberapa Timbalan menterinya digugurkan dengan berbagai cara menyembunyikan 'tangan hitamnya'.

4. Umum ketahui bahawa TS Muhyiddin tidak ada kekuatan dan tidak ada penyokong setia serta pentaksubnya sebagaimana DS Anwar Ibrahim dahulu. Jika ada yang berkumpul untuk memberikan sokongan kepada beliau berhati-hatilah kerana sokongan itu adalah palsu yang hanya bertujuan untuk memporak perandakan UMNO, melainkan memang TS Muhyiddin berniat untuk merosakkan UMNO itu sendiri.

5. Sesiapapun yang dalam keadaan DS Najib pasti akan melakukan demikian... membersihkan kabinetnya dari mereka yang tidak sehaluan serta memutuskan hubungan anggota kabinetnya dengan pengaruh Tun M yang seringkali 'men-drop' (menggunakan perkataan mantan mamak Menteri Penerangan)

6. Tun M kata beliau menegur DS Najib sebab sayangkan beliau. Saya juga menegur TS Zainuddin Maidin kerana saya sayangkan beliau. Saya tegur Tun M kerana saya sayangkan beliau. Apapun saya lebih sayangkan UMNO dari siapa-siapa dan mana-mana pemimpin UMNO itu sendiri.

7. Kebenaran sesuatu perkara itu hanya akan dapat dipastikan setelah segalanya berlalu sehingga itu, ianya hanyalah satu teori semata-mata.

8. Maaf: pendapat TS Zam hanyalah bagaikan senaskah surat khabar lama yang sudah tidak lagi ingin dibaca sesiapa. Mungkin berdiam diri lebih baik dari berkata-kata!





20 July, 2015

KAH! KAH! KAH! HIKAYAT NEGERI TANAH MELAYUSIA

Kah! kah! kah! (Gelak bodoh ala Tukar Tiub aka Hishamuddin Rais)

Akhirnya Rafizi berdalih dan kata fitnahnya terhadap DS Rosmah Mansor tentang isu cincin 24 juta hanyalah gurauan semata-mata. Kah! Kah! Kah!...

Cuma kita harap agar janganlah 'Menteri Mamak' pun akan kata segala tuduhannya terhadap DS Najib juga cumalah gurau semata-mata. Kah! Kah! Kah!

Dibawah ini kita 'CnP' hikayat lawak bodoh dari hasil nukilan Tok Awang Selampit dari Portal Blog 'PahangKu'

Kepada sahabat-sahabat cytro yang sudah berpaling arah, eloklah berpaling semula sebelum terlambat dan termalu lebih banyak lagi nanti.


Sahibul hikayat,

Sebermula.... disebuah negara bernama negeri Tanah MelayuSia, diperintah oleh seorang Memanda Menteri yang dari keturunan baik-baik. Akan tetapi Memanda Menteri itu tidak disukai oleh banyak pihak yang iri hati. Banyaklah fitnah yang dilemparkan kepada beliau serta anak dan bininya dari semenjak beliau belum menjadi Memanda Menteri lagi.

Adapun fitnah itu bermacam-maca jugalah adanya. Sehinggakan bini Memanda Menteri dituduh ada memiliki cincin yang permnatanya sebesar telur ayam. Bini Memanda Menteri juga dituduh berbelanja besar membuat sanggul rambut yang bagaikan sarang burung tempua itu adanya.

Arkian, bukanlah setakat itu sahaja fitnah kepada Memanda Menteri dan Memanda Bini adanya, banyaklah lagi fitnah-fitnah yang dilemparkan sesedap mulut mereka jua lah kiranya. Adapun segala macam fitnah itu tidak jua lah dijawab oleh Memanda Menteri kerana beliau asyik berkerja untuk membangunkan negara dan memberi sejahtera rakyatnya.

Adapun fitnah-fitnah itu bukan saja datang dari pihak yang memusuhi beliau adanya. Bahkan datang jua dari juak-juak mantan Timbalan Memanda Menteri yang dihukum kerana menconteng arang ke bontot beberapa orang sahaya adanya.

Adapun sangatlah gundah gulana rasa hati Memanda Menteri itu akhir-akhir ini bersekelian dengan mamak-mamak menteri yang ada kerana Mantan Menteri Mamak juga turut mencerca pentadbiran beliau.

Adapuh mantan Menteri Mamak itu bersama juak-juaknya yang masing-masing sudah tersangatlah tua -bangka sehingga lupa membilang satu, dua dan tiga. Namun kerana seorang dua hulubalang yang tidak puas hati kerana tidak mendapat jadi penjaga pintu khazanah negara... merekalah yang selalu membisikkan ke telinga mantan Menteri Mamak untuk menjatuhkan Memanda Menteri adanya.

Syahadan, soldadu-soldadu maya pun beritulah juga adanya, berpecahlah kepada dua. Satu kekal dengan Memanda Menteri manakala yang satu lagi menjadi pengikut mantan Menteri Mamak jualah adanya.

Adapun sekiranya terjadi perang besar antara kedua pihak itu nanti tidak diketahuilah apa yang akan berlaku kepada seluruh rakyat jelata negeri Tanah MelayuSia ini adanya. Tidak tersembunyilah lagi akan apa yang ada didalam hati kaum bermata sepet itu untuk merampas dan memerintah negeri ini adanya. Khabarnya mereka itu sudah mengumpul duit yang banyak untuk membeli dan memperhambakan orang-orang Melayu negeri ini nanti untuk mencapai cita-cita mereka itu.

Arkian, cukup disini dululah Tok Awang bersurah dan menceriterakan hikayat ini untuk anak cucu.Insyallah Tok Awang akan sambung semula nanti.


Tok Awang Selampit.


12 July, 2015

BLOGGER UMNO TUN VS. BLOGGER UMNO NAJIB




1. Tun M pernah kata; 'Walaupun Melayu majoriti, tetapi jika berpecah-belah  serta sokongan dan undian berbelah bahagi maka tidak mustahil yang majoriti itu akan kalah dan jadi minoriti'.

2. Politik Melayu mula berpecah apabila ujudnya Pas yang berasal dari sayap UMNO.

3. Melayu UMNO berpecah lagi selepas tragedi Tengku Ghazali Hamzah menentang Tun M sebagai Presiden UMNO. Ayat Tun M ketika itu;  'Walau pun menang satu undi, saya tetap Presiden parti'. Salah satu undi kemenangan Tun M adalah dari DS Najib. Bagaimanapun perpecahan itu tidak lama kerana Tengku Ghazali membawa kembali Melayu Semangat 46 kepada UMNO.

4. Apabila Anwar Ibrahim disingkirkan Tun M dari jawatannya dalam UMNO, beliau membawa penyokongnya kepada 'Keadilan', menjadi kuasa Melayu ke-3 selepas UMNO dan Pas. Melemahkan UMNO dan Melayu.

5. Tiada siapa kekal lama disamping Tun M dalam politik. Tidak Musa Hitam ... tidak juga Ghaffar Baba... bahkan juga Anwar.

6. Perdana Menteri selepas beliau juga tak kekal lama. Abdullah Badawi dan kini DS Najib sedang cuba disingkirkan.

7. Tun M tidak sefahaman dengan Tunku Abdul Rahman sewaktu Tungku Perdana Menteri bahkan menganggapnya sudah nyanyuk apabila menyokong 'Semangat 46'. 'Kunun' tidak juga sefahaman dengan Hussein Onn sewaktu Tun Hussein Perdana Menteri.

8. Krisis semasa melihat Tun M cuba singkirkan DS Najib dari kerusi PM. Singkirkan Abdullah Badawi untuk sementara menggantikan dengan DS Najib. Kemudian singkirkan DS Najib mungkin untuk gantikan TS Muhyiddin... mungkin juga untuk sementara... selepas itu siapa pula akan dicaturkan ke kerusi PM?

9. Tidak dinafikan Tun M membawa banyak kejayaan negara dalam 22 tahun. Tentulah tidak banyak yang dapat dilakukan oleh DS Najib dalam masa 6 tahun.

10. Mungkin Tun M ingin melihat 'Mahathir lain' sebagai PM Malaysia, malangnya 'Mahathir lain itu bukanlah Mukhriz kerana ramai berpendapat bahawa Khairy lebih layak dan berwibawa.

11. Siapakah yang layak jadi PM jika tidak lagi DS Najib jadi tandatanya ramai. Ada yang berpendapat Anwar adalah calon yang paling layak. Mungkin kita boleh cuba, jika tidak menepati citarasa mungkin kita boleh hantar semula ke penjara.

12. Mungkin juga bagi rakyat yang sudah benci kepada perpecahan Melayu akan lebih rela memilih pemimpin dari kalangan DAP. Kenapa tidak? Kerana sikap Melayu...'Jika aku tidak dapat jadi nakhoda, biar aku karamkan bahtera'.

13. Berbuka puasa #KekalNajib semalam menyaksikan sebilangan cytro UMNO yang tidak hadir. Mungkin mereka sudah 'cuci tangan', atau mengundur kebelakang bersama kenangan silam. 

14. Menjelang PRU 14, cytro pembangkang tidak perlu lagi lakukan apa-apa kerana pasukan yang menarik 'gear gostan' sedang melakukan kerja-kerja untuk mereka.

15. Kata Tun M; 'Dulu saya sokong Najib, tiba-tiba sekarang saya ubah fikiran'.

16. Saya sokong Tun M, ketika beliau PM dan saya akan sokong DS Najib selagi dia PM. Dulu saya sokong Tun M, tapi sekarang tidak lagi. Saya sokong PM.





08 July, 2015

DS NAJIB : BANGKIT MELAWAN.. SINGKIRKAN... ATAU BERUNDUR.

DS Najib ditekan makin hebat. Bukan hanya dalam Negara, malahan kebelakangan ini media luar negara juga turut berikan tekanan. Kita tertanya-tanya apakah niat dan tujuannya. Dari manakah sumber dan maklumat mereka perolehi? Sudah pasti dari dalam. Siapakah yang melakukannya? Kenapa dan untuk apa?
Terlalu banyak soalan-soalan yang bersarang didalam fikiran kita rakyat marhaen ini. Maklumat kita sangat sedikit untuk perkara sebesar ini. Sudah pastilah konspirasi sebegini terancang dengan baik oleh mereka yang berkepentingan dan kita tidak akan tahu apa sebenarnya yang berlaku.
Perang antara Tun M dengan DS Najib semakin hebat. Entah apa yang Tun M tak puas hati tidak ramai yang tahu. Saya masih ingat dalam majlis DS Najib 'Nothing To Hide', Tun M turut hadir, namun tiba-tiba seakan 'merampas kuasa' dan jadikan majlis tersebut sebagai majlisnya. Ini sememangnya tidak wajar malahan kelihatan sebagai 'kurang ajar'.
Ada yang kata, masalah negara ketika ini akan selesai jika DS Najib letak jawatan. Kita tertanya-tanya apakah semudah itu masalah yang negara hadapi ketika ini diselesaikan? Hanya letak jawatan dan masalah selesai? Apakah tidak perlu memikirkan siapakah pengganti atau apakah pengganti PM itu nanti layak menyelesaikan segala masalah yang sedang dihadapi?
Apakah itu bermakna sesiapa sahaja boleh mengganti PM... dan masalah akan selesai? Siapa saja... asalkan bukan Najib? Nampaknya tidak banyak beza dengan pendapat pembangkang ketika PRU lalu.. pilih siapa saja atau parti mana saja asalkan bukan UMNO BN.
Kenapa bukan UMNO BN? Kenapa bukan DS Najib? Kerana mereka sudah menconteng arang ke mukanya, ketokohannya sudah dicacatkan, sudah dimusnahkan atas sebab-sebab politik dan kepentingan politik individu atau sesuatu pihak. Dalam keadaan PRU yang semakin hampir ini malangnya masih ada pihak yang rela memusnahkan apa yang kita miliki hanya semata-mata kerana kepentingan peribadi.
Siapakah Si kitol itu ketika ini? Dulu 'orang itu' pernah melabelkan seseorang sebagai Si Kitol, rupa-rupanya dialah Si Kitol sebenar .. sama ada dalam sedar atau tanpa sedar. Mungkin Melayu mudah lupa, mungkin usia tua juga buatkan orang itu juga jadi pelupa.
Ramai rakyat marhaen yang tidak ingin terlibat dalam kemelut politik sekarang ini. Kami hanya mahu hidup dalam aman dan damai. Kami tak kisah pun siapa yang akan jadi pemimpin kelak kerana kami percaya bahawa nasib kami tetap akan sama saja. Mungkin nasib mereka akan berbeza kerana jika menang mereka akan berkuasa dan akan mendapat laba, tetapi itu tidak bagi kami kerana kami bukan dari kalangan kroni.
DS Najib perlu berani bangkit untuk tegakkan kebenaran, atau jika ragu-ragu dan takut-takut, silalah berundur dengan bermaruah. DS Najib tidak lagi perlu 'bermain cantik' dalam politik. Secantik mana permainan sekalipun, jika tewas walaupun dengan 1 undi maka tetap juga menerima musibah kekalahannya.
DS Najib perlu kuatkan pasukannya, pastikan siapa yang setia untuk benar-benar tunjukkan kesetiaannya dan yang diragui singkirkan segera kerena mereka itu akan jadi duri dalam daging. Kami rakyat marhaen dibawah ini, biarpun tidak lantang bersuara namun akan tetap bersatu dan memberikan sokongan kepada pemimpin. yang kami telah plih.

Memang susah untuk kita melepaskan jawatan. Tun M pun terpaksa tunggu hingga 22 tahun untuk umumkan mengundur diri, bahkan terpaksa meneguk air dan menahan sebak tangisnya untuk buat pengumuman. Itu pun bukan kerana ada desakan. Berbeza dengan situasi yang DS Najib hadapi sekarang ini, yang didesak dari kiri dan kanan hatta dari kalangan pengamal media penyokong kerajaan sendiri.

Tun M juga berhak terhadap segala pandangan dan apa yang ingin dilakukannya. Beliau juga layak untuk bertanding dalam PRU akan datang jika masih berbeza pandangan dengan kepimpinan yang ada, jika bukan atas tiket UMNO BN yang didakwa sudah membusuk hingga ke usus, boleh saja atas tiket DAP... ini negara demokrasi.

'Dah lama dahh'... Rupanya dia merajuk dan suka dipujuk...
 
 


02 June, 2015

BILA NAJIB 'DILAGAKAN' DENGAN MUHYIDDIN, SIAPA KITA PILIH?



Kebelakangan ini bagai tak dapat dibendung dan disembunyikan lagi perbalahan antara DS Najib dan TS Muhyiddin. Benarkah UMNO sudah jadi parti retak seribu? Jangan ditanya siapa yang punya rencana atau siapa pencipta skripnya kerana yang lebih utama adalah kemusnahan UMNO adalah kemusnahan seluruh negara dan umat Melayunya.

Ada yang bertanya kenapa ini terjadi kini? Kuat sangatkah UMNO sehingga mampu bertelagah sesama sendiri sedangkan PRU sudah semakin hampir.

Jawapan mudahnya adalah kerana masing-masing merasakan bahawa musuh utama sudah dihapuskan dan terpenjara di Sungai Buluh. Justeru inilah masanya merebut dan berbahagi harta 'rampasan perang'.

Apakah pemimpin-pemimpin UMNO masih belum sedar bahawa rakyat sudah semakin bosan dengan kerenah mereka? Nama UMNO pun bukan benar-benar harum sejak PRU12 lalu. Rakyat khususnya generasi muda masih belum benar-benar merasai kehebatan UMNO dan tidak merasa bahawa UMNO benar-benar diperlukan. Segala tentang UMNO mereka anggap hanya retorik dan gula-gula semata-mata. Rakyat dipedalaman yang masih benar-benar hidup susah juga sudah semakin hilang percaya. 

Mungkin mereka tidak benar-benar mengetahui apa yang terjadi, namun 'angin tetap membawa khabar' internet dan media sosial mampu mempengaruhi mereka disamping khabar dari kota yang dibawa oleh anak cucu.

Kelemahan pemimpin adalah kerana terlalu berlembut selama ini. Pemimpin yang terlalu bertimbang-rasa dan berhati-hati dianggap lemah dan tidak tegas. Pemimpin bukan sahaja patut di hormati bahkan juga mesti ditakuti. Jika tidak masakan ada yang berjaya memimpin sehingga lebih 20 tahun.

Sebenarnya saya sendiri masih belum ada pendirian yang pasti siapa yang akan saya pilih, namun jika benar-benar terjadi antara berdua mereka akan bertarung, tidak mustahil saya akan memilih pilihan ke-3. 

Pastinya bukan hanya saya sahaja yang akan mengambil pendirian demikian, ramai lagi yang merasa benci dan bosan dengan pergaduhan sesama Melayu akan membuat pilihan yang pemimpin Melayu sendiri tidak akan menjangka.

Kerana nila setitik, biarlah rosak susu sebelanga. Alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai tenggelam. Dari genting, biarkanlah terus putus. Mengenggam bara api, biar sampai terbakar tangan.

Jika saya dipaksa memilih diantara dua, saya lebih rela tidak membuat pilihan atau akan memilih pilihan yang ke-3.

Kepada pemimpin-pemimpin Melayu, jangan kesal nanti jika kami akan memilih musuh kita dan musuh kamu sendiri selama ini. Jika politik pemimpin merasakan segalanya mungkin, kita juga merasakan kemungkinan pilihan ini  boleh berlaku.

Kita hanya mampu berharap segalanya dapat diredakan untuk kita tidak terpaksa memilih pilihan ke-3 dari  2 pilihan yang kita ada.







25 May, 2015

BILA TUN 'M' BERSUARA...



Kebelakangan ini semakin menjadi-jadi Tun 'M' mengkritik Perdana Menteri. Jikalaulah ianya sebuah lautan, pastinya ia tidak akan bertepi. Setiap tindakan DS Najib segalanya dipandang buruk. Semuanya salah belaka.

Pada peringkat awal, saya menyangka ianya umpama teguran seorang ayah terhadap anaknya, bagaikan pepatah melayu; sayangkan anak, tangan-tangankan. Namun semakin lama ianya kelihatan semakin kasar bahkan, bapa tiripun tidak melayan anak tirinya sekasar ini.

Keadaan dihangatkan lagi oleh juak-juaknya yang digelar 'blogger elite' yang setiap hari membawa berita yang memberi kesan buruk kepada DS Najib. Kita tidak usah tanya kenapa mereka beria-ia benar menghentam DS Najib kerana pasti ada sesuatu yang akan mereka dapati kelak. Mana lagi ada perjuangan yang benar-benar ikhlas selain dari mengharapkan balasan atau ini adalah kerana membalas jasa atau mengenang budi. Membayar kembali apa yang sudah diterima dahulu.

Tidak peduli apa alasan sekalipun, apa yang Tun 'M' lakukan ini bukan setakat merosakkan DS Najib sahaja bahkan ianya akan memusnahkan UMNO itu sendiri. Soalnya kenapakah Tun 'M' sanggup melakukan demikian untuk memberi tekanan supaya DS Najib berundur?

Apakah agenda sebenar Tun 'M' yang kita semua tidak ketahui? Apakah hanya dengan berundurnya DS Najib UMNO dan  kerajaan akan kekal dan stabil? Begitu saja tanpa perlu melakukan apa-apa selain itu? Apakah sedemikian mudah membaiki segala kerosakan yang telah dilakukan selama ini?

Tiada siapa yang dapat melihat dan memastikan masa depan...apa yang akan terjadi nanti, hatta 'Nujum Pak Belalang' pun tidak dapat meneka apa 'didalam tangan' Tun 'M'. Bagaimanapun, apabila Tun 'M' sudah bersuara, DAP dan pembangkang pun bolehlah menari dan bergembira kerana segala tugas-tugas mereka akan dilakukan oleh Tun 'M'.

Mungkin Tun 'M' mudah lupa dan sudah lupa bahawa musuh kita tidak pernah leka dan akan mengambil kesempatan pada bila-bila masa saja. Politikus yang jadi tikus?





17 May, 2015

POLITIK ERA TUN 'M'.... MASA NAJIB BANGKIT SUDAH TIBA




Ketika Tun 'M' masih Perdana Menteri, jam 8.00 malam ada waktu saya menunggu dihadapan tv untuk mendengar apa kenyataan yang Tun akan umumkan. Setiap kali beliau muncul di kaca tv, pasti membawa sesuatu. Segalanya sensasi dan sangat bererti, justeru kita akan sentiasa menanti-nanti bilakah beliau akan muncul.

Kini, setelah lebih 22 tahun menjadi Perdana Menteri beliau masih jadi 'public figure'... bukan saja jadi kenangan dan ingatan bahkan jadi sebutan. Tun Mahathir dan Malayisa tak dapat dipisahkan.

Mewarnai politik dan kehidupam ketika itu adalah Sammy Vellu. Kemunculannya dikaca tv juga dinanti-nantikan. Bahasa Melayu-nya yang sering mengelirukan juga jadi sebutan sehingga kini. Siapa yang boleh lupa dengan kata-katanya antaranya; "... remaja masa kini suka hisap 'dada'....".. dipersilakan xxx naik kepentas untuk membuka kain..".. dan banyak lagi.

Lim Keng Yaik seorang lagi menteri dizaman Tun 'M' yang selalu jadi tumpuan. Apabila meng-interview selalunya wartawan akan menjarakkan sedikit dari beliau kerana bimbangkan 'percikan'nya membasahi muka.

Dizaman Tun, tidak banyak 'kebebasan' sebagaimana sekarang ini. Tidak hairanlah jika negara luar memandang Malaysia menyekat kebebasan akhbar. Mana ada siapa yang berani melakukan demonstrasi jalanan seperti sekarang. Setiap amarannya sangat ditakuti, tidak hairanlah pihak pembangkang menggelarnya sebagai 'maha zalim' dan 'maha firaun', namun ianya sangat berkesan untuk menghalang kekacauan.

Tun seorang pemimpin yang tegas dan berani. Beliau tidak kisah menyanggah siapa saja dan dimana saja. Selain itu beliau juga seorang yang bijak berbicara dan 'mengilas' kata. Pernah khabarnya suatu ketika, di Indonesia,  beliau disoal sinis oleh wartawan yang menganggapnya sebagai 'Soekarno' kecil namun beliau menjawab selamba bahawa di Malaysia pun beliau dianggap 'Mahathir' kecil.

Kini waktunya sudah berlalu. Biarlah beliau tinggal diam dan tenang menikmati hari tuanya dalam damai. Jangan ada sesiapa yang pergunakannya untuk kepentingan diri. Biarlah sejarah akan mencatatnya dengan kisah yang baik-baik dan menarik belaka. Jangan buat rakyat menyingkap bahagian 'hitam' dalam sejarahnya dan disebut-sebut.

Kita sayang Tun dan kita ingin terus menghormati Tun. Istirehatlah dengan tenang dan damai. Kita juga mahukan DS Najib lebih lantang, berani dan perkasa seperti Tun untuk terus dihormati. Jika tidak, bahtera ini akan kehilangan nakhoda..... Masa untuk DS Najib bangkit sudah tiba.


15 May, 2015

MEMILIH ANTARA TUN 'M' DAN DS' N'






Rakyat, khususnya ahli UMNO sudah bagai tidak dapat mengelak dan terpaksa memilih antara 2. Diantara DS Najib dengan Tun Dr. Mahathir, mantan Presiden dan Perdana Menteri yang namanya sudah sinoniom dengan negara Malaysia.

Diluar negara, bila orang ingat Dr. Mahathir, mereka akan ingat Malaysia. Demikian juga, bila ingat Malaysia mereka akan ingat Dr. Mahathir. Bukan sedikit jasa yang dicurahkan oleh Tun kepada bumi tercinta ini.

Saya sudah waras untuk berfikir ketika Tun menduduki kerusi PM ketika itu, menggantikan Huseein Onn. Saya tertanya-tanya mampukah beliau melaksanakan tugasnya sebagai pemimpin nombor satu negara. Namun tidak lama, keraguan menjadi kebingungan seketika apabila perkara pertama dilakukannya adalah 'menyeragamkan' waktu diantara Semenanjung dengan Sabah, Sarawak yang berbeza 30 minit sebelum itu. Saya sedar bahawa insan bernama Mahathir ini sangat pentingkan waktu.

Selain itu, tindakan kecil dan sederhana yang turut memberi impak besar yang dilakukan adalah menurunkan nilai Ringgit Malaysia berbanding Singapura. Serta merta arus ekonomi Malaysia/Singapura berubah. Rakyat Malaysia tidak lagi ke Singapura untuk ber-shopping sebaliknya rakyat Singapura yang lebih banyak ke Malaysia bagi tujuan berkenaan.

22 tahun mentadbir negara banyak yang telah Tun lakukan. Jika hendak dibilang, dengan jari bersama jari kaki pun masih belum cukup untuk mengiranya. Namun segala yang dilakukan bukanlah dengan mudah. Segalanya penuh dengan cabaran dan dugaan bahkan kadagkalan disertakan tohmahan.

Berapa ramai yang menyindir bila projek kereta nasional ingin dilaksanakan. Berapa ramai yang membantah apabila Putrajaya dibangunkan.... menara berkembar Petronas dan banyak lagi. Segalanya dilakukan dengan perjuangan. Namun akhirnya Tun dapat melaksanakannya dengan jaya dan membuktikan kepada dunia bahawa beliau, rakyat dan negara Malaysia .... mampu melakukannya.

Untungnya pada zaman itu teknologi telekomunikasi belum cukup berkembang dan media sosial tidak menjadi saluran rakyat menyatakan pendapat dan bantahan. Jika Tun memimpi negara pada ketika ini, mungkin beliau juga akan merasa tertekan oleh desakan rakyat sebagaimana yang diterima oleh DS Najib.

Saya blogger pencacai yang tidak langsung disedari keujudannya dan tidak juga diperhatikan oleh Tun M. Justeru tulisan ini bukanlah bertujuan untuk mendapat perhatian beliau sama sekali. Saya hanyalah seorang blogger yang turut juga digelarkan 'bangang' oleh DS Najib bersama-sama yang lain suatu ketika tidak lama dulu.  Justeru saya juga tidak terhutang apa-apa kepada mereka. 

Sokongan saya kepada siapa akan saya tentukan bila tiba masanya. 

Kecewa? 

Ya ! Dah lama dahh..... Bukan saja pada DS Najib, pada Shabery Cheek juga.

Sesiapapun tak perlu bimbang, tulisan ini tidak akan memberikan kesan.



14 May, 2015

APA YANG TUN 'M' NAK ?




Ramai yang keliru dan tidak menentu hala tuju apabila Tun M terus menerus 'menghentam' DS Najib hatta ketika PRK Permatang Pauh, sehari sebelum hari membuang undi. Mungkin BN tidak akan menangpun walau tanpa kenyataan Tun M mengenai Tabung Haji, tetapi setidak-tidaknya BN mampu meraih lebih banyak undi dari apa yang didapati.

Berbagai pendapat diantara kita namun yang nyatanya kita terbahagi kepada dua; penyokong DS Najib dan penyokong Tun M. Tidak peduli atas alasan apa kita menyokong sekalipun namun hakikatnya kita terbahagi dua.

Saya mula menulis blog ini ketika zaman Pak Lah sebagai sokongan dan dedikasikan kepada Tun M, itu saya tidak ragui sama sekali. Bagaimaanapun kini pandangan saya berbeza kerana apa yang saya harapkan dari Tun M tidak saya dapati.

Saya mengharapkan Tun M sebagai seorang negarawan dan arkitek pembina negara bertindak lebih wajar dalam menangani masalah kepimpinan DS Najib. Namun apa yang berlaku beliau seakan-akan sememangnya bukan bertujuan untuk mengajar atau menasihat, sebaliknya beliau lebih dilihat sebagai 'pembunuh' yang tiada belas kasihan.

Sudah pasti tiada siapa yang tahu apa sebenarnya ada dalam fikiran Tun M. Kerana itu orang menduga-duga apakah rencananya selepas jatuhkan Pak Lah dan DS Najib (jika berjaya). 

Ramai yang beranggapan bahawa beliau 'suka' agar TS Muhyiddin 'ditabal' sebagai PM... untuk seketika ... sebelum dijatuhkan pula. Ibarat berjagung-jagung dahulu sementara menanti padi masak. Banyak pendapat mengatakan bahawa Tun M mahukan 'warisnya' mewarisi 'takhta' yang telah beliau duduki sebelum ini.

Ada soalan; kenapa? Apakah tidak ada orang lain yang layak selain 'warisnya'? Fikiran buruk berkata; lebih mudah menutup bangkai dan menghalangnya dari berbau oleh orang yang tahu dimana bangkai itu berada.

Begitu banyak soalan-soalan yang Tun M soalkan kepada DS Najib sehinggakan ada antaranya diketahui bahawa ianya langsung tanpa fakta. Begitu banyak juga jawapan-jawapan yang diberikan oleh DS Najib namun umum tidak mengendahkannya kerana menganggap bahawa jawapan itu hanyalah satu penipuan semata-mata.

Siapa yang benar dan siapa yang salah bukan lagi jadi persoalan kita ketika ini. Kerana kita mesti akui bahawa apa yang berlaku ketika ini sememangnya memecahkan dan memberikan kesan besar kepada parti dan bangsa Melayu sendiri.

Jika boleh, kita mesti merayu agar pertelingkahan ini dihentikan segera tanpa sebarang syarat. Untuk kepentingan anak bangsa kita dimasa akan datang. Setiap 'serangan' dari Tun M pasti akan memberi bekas kepada DS Najib. Demikian juga, setiap penafian dan usaha DS Najib mempertahankan dirinya akan tetap mencalar imej Tun M sebagai negarawan yang kita patut hormati.

Lupakan sejarah silam... sejarah mencatat tiada siapa yang Tun M 'sukai' selama karier politiknya. Beliau tak 'suka' Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn ketika mereka PM. Beliau tak 'sukai' Tun Musa Hitam dan Tun Ghaffar serta DS Anwar ketika beliau menjadi PM. Beliau juga tidak 'suka' Pak Lah dan kini DS Najib ketika mereka jadi PM. 

Apa yang Tun M nak?

Bagaimana kita akan tulis sejarah negara dan bangsa kita nanti?

UMNO membusuk hingga ke usus!

Walau apa sekalipun jawapannya, kita pengamal media sosial perlu berusaha menghentikan pertelingkahan ini dari terus merebak. Jangan biarkan menjadi barah. Jangan mencurah minyak pada api yang sedang menyala. Kerana walau disebelah mana kita sekalipun, kita hanyalah 'pencacai'. Mungkin ada orang lain yang akan makan isi, namun kita tetap umpama 'anjing' pemakan tulang yang dicampak buang.


Blogger Bangang !


02 May, 2015

#PRKRompin : KEMENANGAN ADALAH PASTI UNTUK BN




Sudah beberapa hari kempen PRK P091 Rompin berlangsung. Menurut mereka yang berada disana, suasananya terasa hambar. Mungkin kerana Pas sendiri yang meltakkan calonnya merasakan menang adalah tidak mungkin sedangkan kalah adalah dalam tangan.

Mungkin juga kerana calonnya bukanlah lawan yang setanding, kerana calon yang BN letakkan dilihat sangat berwibawa. Selain dari pernah jadi Adun di Bukit Ibam dan Tioman, beliau juga adalah mantan Timbalan Menteri Besar Pahang. Di peringkat nasional, beliau adalah Ahli Majlis Tertinggi UMNO pada suatu ketika.

Rekod calon BN semasa beliau bertugas adalah cemerlang. Bagi kalangan veteran, beliau ibarat otai yang masih berbisa. Manakala dikalangan remaja, sentuhannya juga dapat menarik sokongan mereka. Banyak pihak berpendapat beliau adalah calon pilihan terbaik bagi menggantikan Allahyarham Dato' Jamaluddin Jarjis.

Kemenangannya juga adalah satu kepastian, cuma yang perlu beliau lakukan adalah mempertahankan majoriti kemenangan dan jika boleh mengumpul lebih banyak undi bagi mencatat kemenangan yang bergaya.

Calon pembangkang sedar mereka tiada harapan untuk menang. Calon yang diletakkan adalah muka baru yang langsung tidak ada kekuatan dan sokongan. Bahkan dari kalangan Pas sendiri, pencalonannya dipertikaikan. Cuma, untuk tidak menampakkan perpecahan dalam parti, mereka diamkan sahaja.

Tidak semua undi 'blok' Pas akan dapat diraih oleh calonnya Ustaz Nazri Ahmad. Pertama kerana perpecahan sokongan dalam Pas sendiri sebagai protes terhadap calon dan kedua adalah kerana penyokong pembangkang juga akan mengundi calon BN atas alasan mengenang budi dan jasanya suatu ketika dahulu.

Kisah persahabatan akrab antara Dato' Hasan dengan Dato' Fauzi Abdul Rahman Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Pahang sudah diketahui ramai. Secara rahsia PKR Pahang pasti akan menjuruskan undinya kepada calon BN tanpa menyentuh hati 'sahabat' Pas nya. Ini juga mungkin sudah disedari oleh Pesuruhjaya Pas Negeri Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man namun beliau juga tidak mampu berbuat apa-apa kerana menjaga hubungan 3 penjurunya antaranya, Dato' Hasan dan Dato' Fauzi.

Perayu undi tempatan langsung tidak menjalankan tugasnya dengan bersungguh-sungguh. Kerana itulah tidak banyak bendera dan poster Pas berkibar. Yang diberitakan berkerja merayu undi bagi calon Pas hanyalah mereka yang datang dari luar, yang tidak mengetahui apa-apa tentang kisah dalaman.

Undi masyarakat Orang Asli juga khabarnya masih tetap teguh terhadap BN walaupun pihak pembangkang cuba juga menghasut mereka. Dalam pertemuan dengan beberapa penduduk perkampongan Orang Asli di sekitar Ibam, jelas mereka akan tetap memberikan sokongan dan kepercayaan mereka terhadap BN.

Jika tidak terlalu kasar, mungkin boleh kita katakan bahawa peraih undi Pas ini tertipu dengan mainan dan konspirasi pihak atasan mereka. Tidak salah agaknya jika kita ucapkan kejayaan Dato' Hasan calon BN sebagai ahli Parlimen Rompin.


~




22 April, 2015

PRK ROMPIN PERMATANG PAUH, MENYERLAH AURA NAJIB




Semua perhatian tertumpu kepada PRK Rompin yang akan berlangsung pada 5hb Mei nanti. 

Bagi BN, PRK ini mesti dimenangi demi mempertahankan maruah dengan mengekalkan majoriti undi 15 ribu bahkan lebih baik jika dapat menambah.

Kita maklum kepimpinan Dato' Seri Najib sedang diuji dengan ujian getir, bukan sahaja oleh pihak pembangkang bahkan oleh UMNO sendiri sama ada secara terang atau bersembunyi.

Tekanan dari mantan PM Tun Dr. Mahathir yang tidak henti-henti juga membuatkan Dato' Seri Najib 'kering tekak' kerana ianya sering diambil kesempatan oleh pembangkang untuk menggoncang kerajaan BN.

Sikap menteri-menteri dan majlis kerja tertinggi UMNO yang membisu setiap kali PM dihentam dari kiri-kanan menimbulkan pertanyaan: dimana sokongan yang diharapkan dari 'pendekar-pendekar' untuk membantu PM?

Timbul persepsi bahawa adanya agenda tersembunyi kumpulan yang menanti peluang untuk menolak jatuh pucuk pimpinan bila saat sesuai tiba.

Justeru, PRK Rompin ini sangat bermakna kepada Dato' Seri Najib dalam perjuangannya untuk membuktikan bahawa kepimpinannya masih relevan dan BN masih diperlukan rakyat.

Kemenangan dengan majoriti besar akan mampu membina kepercayaan rakyat dalam PRK berikutnya di Permatang Pauh kelak dan momentum itu diharap dapat diteruskan menjelang PRU akan datang.

Bagi Pas, memenangi PRK Rompin hanyalah mimpi dan angan-angan, selebihnya hanyalah semata-mata untuk mengecilkan kemenangan BN untuk dicanang sebagai sokongan rakyat kepada kerajaan sudah menurun dan rakyat sudah menolak BN.

Pesuruhjaya Pas Pahang sendiri dalam satu kenyataannya menyatakan bahawa penyertaan Pas dalam PRK Rompin ini bukanlah untuk mengharapkan kemenangan. Jika bukan ada harapan untuk menang apa perlunya Pas bertanding?

Pengundi Rompin terutama golongan muda sepatutnya lebih bijak memilih, antara intan dan kaca... antara perjuagan sebenar UMNO yang ikhlas dan perjuangan Pas yang sia-sia.

Keputusan PRK nanti, Rompin masih tetap milik UMNO BN dan besar kemungkinan pengundi Permatang Pauh juga berubah arah kerana sedar harapan selama ini hanya bagai kiambang, pucuk tak kesampaian dan akar tak jejak.



04 March, 2015

ANWAR KESAL MASUK LORONG SALAH?




Permohonan untuk membolehkan Anwar hadir ke Persidangan Dewan Rakyat pada 9hb Mac ini ditolak oleh Yang Di Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Sudah tentu puak pencacai telah bersedia dengan tindakan tunjuk perasaan serta roadshow ceramah cerca untuk menyebarkan fitnah kepada Kerajaan.

Anwar dah dijatuhkan hukuman dan mahkamah dah putuskan Anwar bersalah kerana meliwat. Mahkamah rayuan juga telah memutuskan Anwar tetap bersalah. Ini mengenai kes liwat.. salah laku seks luar tabii. Anwar bukan pesalah atau tahanan politik. Beliau tidak wajar dibenarkan untuk hadir ke Parlimen dan mencemari Parlimen kita.

Kenapakah rayuan pengampunan kepada Yang Di Pertuan Agong dipohon oleh isteri dan anaknya, dan bukan olehnya sendiri? Apakah kerana malu bahawa selama ini beliau telah mencerca sistem raja berpelembagaan kita dan tidak menghormatinya sama sekali?

Konon ada pihak yang mengugut untuk adakan demo jika permohonan untuk Anwar hadir ke Parlimen ditolak. Apakah mereka ingin mendengar dan melihat bagaimana Anwar akan mencerca Parlimen kita pula nanti setelah beliau diberi kesempatan berkata-kata sebagaimana apa yang dilakukan di Mahkamah baru-baru ini?

Kehadiran Anwar ke Parlimen tidak akan memberikan apa-apa faedah kepada rakyat sama sekali. Sebagaimana sebelum ini, Anwar tidak hadir dengan cadangan dan idea untuk kebaikan, melainkan hanya mencerca dan mengeji apa yang Kerajaan lakukan. Memburuk-burukkan pemimpin terutama DS Najib. Yang ada pada Anwar sekarang hanyalah dendam yang membara dan tidak akan berakhir.

Rakyat didesak untuk bersama dalam perjuangan membela Anwar. Yang rakyat dapat hanyalah janji-janji kosong belaka. Yang riuh rendah hanyalah pencacai-pencacainya saja. Namun akhir-akhir ini sudah semakin ramai yang sedar dan tidak peduli lagi. Tunjuk perasaan sudah tidak dihiraukan dan tidak mendapat sambutan. Anwar akan dilupakan.

Wan Azizah dan Nurul serta Nuha akan berusaha meraih simpati rakyat. Namun penyokong pembangkang khususnya PKR sudah berbelah bahagi. Kebanyakannya sudah lebih mesra dengan Azmin yang sedang berada dipuncak kuasa. Mungkin itu lebih bermakna.

Anwar akan dilupakan. Anwar akan menghabiskan 5 tahunnya di Sungai Buluh. Anwar akan mencatatkan kisah cita-cita politiknya didinding sel penjara. Mungkin juga Anwar akan menyesal terhadap apa yang telah dilakukan; memasuki lorong yang salah!




17 January, 2015

BANJIR DAN PEMBALAKAN; PANDANGAN MENTERI CAP AYAM




Selepas membuat kenyataan jangan tebang balak dan cadang Kerajaan Negeri tarik balik semua lesen pembalakan yang dibuat di Kuala Tahan, Jerantut Pahang, yang bagaikan menyindir kerajaan Negeri, terbaru menteri berkenaan mengeluarkan kenyataan yang hampir sama di Segamat.

Perlukah menteri bercakap terlalu banyak pada perkara sama tetapi berbuat terlalu sedikit seperti apa yang dicakapkannya? Bukankah lebih baik bercakap sedikit tetapi disusuli dengan tindakan? Tetapi mungkin beginilah caranya 'menteri kitarsemula' menonjolkan dirinya ... yang benar-benar cuba mengambil kesempatan menangguk di air keruh.

Sama ada hentikan sepenuhnya pembalakan atau berhenti selama 10 tahun, kedua-duanya mendatangkan impak kepada industri dan ekonomi negara. Pemotong kayu dan derebar lori akan kehilangan pekerjaan, demikian juga dengan pekerja-pekerja di kilang papan yang ditutup itu.

Jika pembalakan diharamkan sepenuhnya, lori balak terpaksa dijual kerana tidak akan berguna lagi kepada syarikat pemiliknya. Begitu juga kilang papan akan ditutup. Mungkin untuk pembinaan bangunan dan sebagainya kita sudah boleh beralih dari kayu kepada menggunakan 'metal'. Namun dalam sesetengah hal. kayu ,masih diperlukan dalam kehidupan kita.

Mungkin pada masa itu Malaysia bukan lagi negara pengeluar balak sebaiknya kita akan jadi negara pengimpot kayu dan hasil kayu. Mungkin masa itu 'menteri cap ayam' sudah berpencen tetapi mudah-mudahan kita dan dia tidak akan melupakan sumbangan terbesarnya kepada negara dengan menghalang pembalakan di Malaysia. Mungkin ketika itu pembalak Malaysia terpaksa berhijrah di Canada untuk membalak.

Pembalakan bukanlah satu-satunya punca dan penyebab banjir. Banyak perkara lain yang juga memberi kesan kepada berlakunya banjir yang juga kita boleh perbaiki, antaranya memastikan sistem saliran dalam keadaan baik dan cukup sesuai untuk mengalirkan air ke sungai-sungai, serta mengekalkan kolam dan paya dalam keadaan asal sebagai tempat takungan sementara sebelum air melimpah dan mengalir ke sungai-sungai.

Dan, bukankah lebih baik mendidik dan menguatkuasakan pembalakan berhemah lebih baik dari menghentikan aktiviti berkenaan? 'Ayam mahal... jangan makan ayam"..... kahkahkah.... satu lagi menteri cap ayam.



11 January, 2015

BANJIR DISEBABKAN HUJAN - 'MENTERI KITARSEMULA' PERLU HATI-HATI BUAT KENYATAAN

Gambar hiasan - Kemusnahan akibat banjir di Kuala Tahan


Seorang menteri (menteri kitarsemula) meminta kerajaan semua negeri mengkaji semula pemberian lesen pembalakan. beliau berkata demikian ketika lawatannya ke Negeri Pahang khususnya dalam lawatannya ke Taman Negara ketika banjir mula reda baru-baru ini. (Rujuk Sini)

Mungkin 'menteri kitarsemula' ini patut dibertahu bahawa banjir berlaku adalah akibat dari hujan dan hujan kali ini lebatnya adalah yang terbanyak dan luar biasa akibat dari perubahan cuaca dunia. 'Menteri Kitarsemula' itu boleh rujuk laman ini dan juga ini supaya lebih tahu berapa jumlah hujan yang diterima yang mengakibatkan bencana banjir kali ini.

Memang penerokaan hutan adalah salah satu (SALAH SATU) punca berlakunya banjir apabila lebih kurang 70% hujan yang sepatutnya diserapkan oleh lapisan 'span' hutan gagal berbuat demikian kerana lapisan berkenaan musnah akibat pembalakan sebaliknya mengalir terus ke sungai-sungai.

Untuk catatan, ketika bencana banjir melanda Kelantan baru-baru ini, jumlah hujan direkodkan sebanyak 129mm yang sememangnya luar biasa banyaknya. 

'Menteri Kitarsemula' ini mesti juga faham prosedur pembalakan di negara kita, iaitu hanya pokok-pokok yang berukuran tertentu serta dari species tertentu sahaja yang dibenarkan ditebang, Ini bertujuan untuk menjaga agar hutan tropika masih kekal ada pembalakan semula boleh dilakukan beberapa tahun selepas itu.

Bagaimanapun, untuk pengetahuan 'menteri kitarsemula' berkenaan, dalam kes-kes tertentu keseluruhan hutan digondolkan dengan tujuan penanaman semula sama ada bagi penanaman sawit, getah atau lainnya.

Perkara sebegini telah berlaku lama dahulu seawal tahun 60an ketika kerajaan dalam usaha membina ladang sawit terbesar yang kini dinamakan 'Felda'. Ketika itu seluruh dunia mengecam pembalakan Malaysia namun kita ada alasan tersendiri yang bukan sahaja untuk menjual hasil hutan sebagai kayu balak, namun untuk membina 'ladang rakyat' terbesar 'Felda' tapi tidak pula berlaku banjir besar seperti apa yang berlaku kini.

Saya bukan berniat mengecam 'menteri kitarsemula' yang juga merupakan mantan Menteri Besar dari utara, namun sebagai Menteri yang dilantik sebagai membalas budi beliau harus berhati-hati dengan kenyataannya agar akhirnya tidak jadi senjata kepada pembangkang untuk menghentam semula kerajaan 

Yang lebih penting (kerana sayangkan beliau) adalah supaya beliau juga tidak digolongkan dalam kalangan menteri-menteri yang memberikan kenyataan yang boleh membuatkan rakyat ketawa berdekah-dekah dan berguling-guling sebagaimana ada menteri yang menyatakan 'jika harga ayam naik, jangan makan ayam' dan lain-lain kenyataan seumpamanya.