25 August, 2013

MEMPERKASAKAN UMNO?





[ Sebentar lagi saya akan menunaikan tanggungjawab sebagai ahli UMNO di peringkat cawangan. Saya pernah menyandang jawatan Ketua Pemuda di sebuah cawangan lain sebelum itu, juga terpilih sebagai AJK Pemuda Bahagian beberapa penggal. Menubuhkan UMNO cawangan sekarang ini ketika UMNO diharamkan di zaman Tun Mahathir dulu. Menjadi ketuanya, namun melepaskannya  atas alasan bertugas diluar kawasan. Kini saya kembali untuk melihat perbezaan UMNO dahulu dan sekarang yang dikatakan semakin lemah. Saya bercadang untuk berucap dalam ucapan penangguhan nanti dan post ini adalah sebahagian dari intipatinya. ]

( Kepada Presiden UMNO, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri-Negeri, Ketua UMNO Bahagian-Bahagian dan Ketua-Ketua UMNO Cawangan-Cawangan serta seluruh Ahli-Ahli UMNO. ) 

Setelah beberapa lama PAU (Perhimpunan Agung UMNO) ditangguhkan dengan alasan menstabilkan parti dan memberi laluan kepada PRU13, maka kini kita sedang mendepaninya juga. Sama ada demokrasi akan tetap subur didalam UMNO atau sebaliknya, Persidangan Cawangan dan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian tetap akan diadakan bagi menunaikan tanggung jawab dan mematuhi perlembagaan pertubuhan.

Sepatutnya sudah tidak berlaku perpecahan didalam parti kerana perebutan untuk jadi wakil rakyat sudahpun berlalu tinggal lagi hanya mengisi jawatan didalam parti. Namun sentiasa ada didalam fikiran kita bahawa pemimpin tertinggi parti di peringkat bahagian akan dicalonkan sebagai wakil rakyat, justeru berlakunya perebutan mengisi jawatan-jawatan tertinggi parti dengan harapan akan diperhatikan sebagai calon wakil rakyat DUN atau pun Parlimen.

Bagaimanapun prosesnya sudah bermula dari bawah lagi, dari peringkat cawangan pemimpin tertinggi sudah mencaturkan dan menentukan siapakah yang akan jadi perwakilan ke bahagian dan seterusnya akan mengundi bagi menentukan kepimpinan bahagian. Disinilah bermulanya politik wang (sebutan yang lebih mulia berbanding rasuah politik) dimana para perwakilan dibayar bagi mendapatkan undi dan menentukan kemenangan seseorang ataupun sekumpulan mereka. Disinilah perpecahan dalam UMNO bermula dimana diperingkat cawangan ada yang disisih demi memastikan orang tertentu yang akan mengundi di peringkat bahagian.

Kerana itu jugalah maka pada kali ini dilakukan perubahan bagi menentukan kepimpinan di peringkat bahagian dengan membuka lebih banyak peluang perwakilan ke bahagian. Jika ada yang ingin berjual beli undi tentunya mereka perlukan dana yang besar untuk membeli semua undi dari sesebuah cawangan. Tujuannya untuk menghalang berlakunya ‘rasuah politik’. Apakah benar-benar mampu ‘rasuah politik’ ini dihapuskan?

Dengan berfikir bahawa menjadi Ketua Bahagian, atau Timbalan, atau Naib-Naib Ketua Bahagian akan membuka peluang lebih besar bagi kita untuk terpilih menjadi wakil rakyat telah membuatkan berlakunya politiking dan perebutan kuasa didalam UMNO. Maka wujudlah kem-kem bagi membantu calon-calon tertentu bermula dari peringkat cawangan lagi. Maka berlakulah penyisihan ahli-ahli di cawangan bagi memastikan undi dan suara mereka dapat menentukan jawatan orang-orang tertentu. Dalam masa sama UMNO telah menutup peluang orang lain untuk sama berbakti dan natijahnya adalah UMNO semakin berpecah-pecah dan menjadi sebuah parti yang tidak lagi dominan. Akibatnya BN kehilangan banyak kerusi kepada pembangkang dalam PRU13 lalu. (Boleh diperbincangkan lagi)

UMNO sepatutnya lebih terbuka dalam segi keahlian. Di peringkat cawangan juga keahlian harus diperbanyakkan lagi dengan mengambil ahli-ahli baru terutama golongan muda. Namun apabila itu tidak berlaku maka golongan muda akan lebih cenderung menyokong pembangkang. Kerajaan Pahang sebelum ini hanya kalah 4 kerusi kepada pembangkang namun dalam PRU13 lalu kehilangan kerusi telah meningkat kepada 12. Tidak mustahil dalam PRU14 nanti UMNO BN akan dikalahkan jika kita gagal mengubah sikap dan cara kita berfikir.

Pemimpin di peringkat cawangan perlu lebih adil dan telus serta jujur melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Berani menghadapi kenyataan bahawa jawatan dalam parti bukanlah satu anugerah dan hak, tetapi adalah satu bebanan dan tanggungjawab. Harapan Presiden UMNO sangat besar dan cawangan-cawanganlah kekuatan sebenar parti, justeru perubahan mesti dimulakan disini bagi menentukan kuasa akan terus berada ditangan kita. Jika tidak, tidak mustahil teori RAHMAN akan jadi kenyataan dan DS Najib adalah pemimpin UMNO dan Melayu terakhir yang jadi PM Malaysia.

Kita mesti akui bahawa kecenderungan golongan muda untuk menyertai pembangkang semakin tinggi. Demikian juga dengan golongan profesional serta penjawat awam yang merasakan selama ini disisihkan oleh parti yang mengamalkan sistem pengekangan kuasa.

Di media sosial, pembangkang lebih bijak menggunakan dan mengambil kesempatan. Jentera perang siber mereka lebih tersusun dan mantap dan nyata mereka lebih menguasai media sosial sama ada blog, facebook, tweeter serta youtube dan sebagainya. Mereka sentiasa dihadapan kerana pemimpin mereka sentiasa ingin berada dihadapan. Sedangkan pemimpin kita pula memusuhi media sosial dan menganggapnya tidak penting sama sekali.

 Ada dikalangan pemimpin kita yang semasa menghadapi PRU13 lalu senyap sunyi apabila berhadapan dengan media sosial pembangkang namun menjelang PAU sudah tampil hebat dan kelihatan gagah untuk ‘bunuh membunuh’ sesama sendiri. Musuh sebenar kita bukanlah sesama UMNO. Tidak juga sesama sebangsa. Kelangsungan kekuasaan dan ketuanan bangsa Melayu terletak ditangan kita sendiri, di tangan ahli-ahli UMNO yang bersidang pada hari ini, yang bilangannya semakin mengecil dan menghadapi kehilangan kuasa jika kita sendiri tidak mampu melakukan sesuatu untuk memperkasakan UMNO semula.

Saya pernah satu ketika menawarkan diri sebagai wakil ke Mesyuarat Perwakilan Bahagian namun saya dihalang atau tidak diberikan peluang bahkan dianggap sebagai orang luar namun hakikatnya adalah kerana kronism ataupun kem-kem dalam parti. Tidak hairanlah UMNO akan semakin mengecil dan tidak lagi relevan kerana adanya pemimpin-pemimpin yang hanya mementingkan diri sendiri.

Pagi tadi saya mendapat maklumat bahawa di sebuah cawangan UMNO, persidangan sayap wanita dan pemudanya telah dilangsungkan tanpa pengetahuan Ketua Cawangan dan AJK Cawangan berkenaan bagi menaikkan orang-orang tertentu. Inilah sikap buruk ahli yang sanggup memperkosakan UMNO.

Kepada pemimpin-pemimpin UMNO semua. Sedari diri sendiri. Jika merasakan kita tidak mampu lagi menjadi nakhoda atau UMNO semakin tidak kuat dibawah kita, atau akan jadi lebih gagah dibawah orang lain, maka kita perlu berundur. Jangan biarkan UMNO musnah ditangan kita. Kepimpinan bukanlah hak, tetapi tanggungjawab. Kalau tidak mampu perkasakan UMNO, jangan sesekali UMNO diperkosa, atau membiarkan ianya jadi perkasam.
                

Penafian / Disclaimer

Segala tulisan di dalam blog bERANIKAN hATI ini adalah pandangan dan pendapat bh secara peribadi dan bh tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruh sesiapa. Sebarang tulisan yang didapati ada persamaan adalah secara kebetulan melainkan dinyatakan merujuk kepada mana-mana artikel tertentu. Sebarang rujukan dalam penulisan di blog ini adalah dari bahan-bahan dan sumber-sumber yang diluluskan undang-undang. Sebarang pertikaian terhadap tulisan di blog ini maka sumber dan rujukan asal akan dirujuk, bh tidak akan dipertanggungjawabkan.

Terima kasih

Dari Mana Datangnya...