17 May, 2017

PENGUMUMAN TARIKH PRU14 ....



Pengumuman tarikh pilihanraya ....  Siaran TV kerajaan dan swasta serta media cetak menyiarkan pengumuman pembubaran Parlimen dan diikuti pihak SPR pula tampil mengumumkan tarikh Pilihanraya ke-14.

Inilah berita yang sangat dinanti-nantikan oleh banyak pihak terutama mereka yang terlibat dengan parti politik.

Bukan sedikit sama ada yang dari parti kerajaan dan juga pembangkang yang sudah sekian lama menunggu saat ini. Menanti nama mereka disebut atau disebut semula sebagai calon PRU.

Dipihak pembangkang, mereka akan berhajat untuk bertanding dengan membawa isu lama yang dihangatkan semula kerana sebenarnya mereka ketiadaan isu.

UMNO dan Pas yang semakin akrab memberi makna yang berbagai, bagaimanapun tentunya merunsingkan Pakatan Pembangkang.

Dalam pemerhatian saya, UMNO masih kuat dan BN akan tetap menguasai kerajaan bagaimanapun undi kaum Cina makin 'solid'.

Sayangnya anak-anak muda masih leka sehingga terlupa untuk mendaftar sebagai pemilih dalam PRU akan datang. Masa masih ada jika mereka bersegera.

11 May, 2017

BANJIR KILAT SATU AMARAN




Hujan lebat secara menyeluruh beberapa hari lalu menyebabkan banjir kilat dibeberapa daerah di Negeri Pahang. Antaranya yang teruk terkesan adalah di Lancang, Kuala Krau serta Jerantut.

Jerantut adalah sebuah kawasan pedalaman yang berbukit-bukau dengan anggaran purata ketinggian 50 meter dari aras laut. Kebiasaannya sejak zaman dahulu lagi tidak terlibat dengan banjir kilat kerana saliran semulajadi yang baik. Namun sejak akhir-akhir ini segalanya seakan berubah... 'asal hujan-banjir.... asal banjir-hujan".

Jika saliran baik pasti air hujan akan cepat turun kesungai, tidak tersekat dan tidaklah berlakunya banjir kilat. Justeru, apakah penyebabnya? Itulah soalan yang sentiasa bersarang dalam kepada banyak orang terutama pencinta alam sekitar.

Bukan jarang kawasan sekitar masjid baharu di Jerantut ditenggelami air apabila hujan lebat. Dulunya kawasan sekitar masjid itu adalah kawasan paya. Apabila hujan turun airnya akan memasuki kawasan paya berkenaan sebelum menyerap atau mengalir ke sungai-sungai seterusnya ke Sungai Pahang. 

Apabila kawasan berpaya itu ditimbus dan menumbuhkan bangunan-bangunan maka kemanakah air akan mengalir jika tidak kejalan-jalan raya dan rumah-rumah kedai disekitar? Sedarlah bahawa bukit, paya dan sungai memainkan peranan masing-masing secara semula jadi dan jika kita musnahkannya maka kesan kepada alam akan mampu musnahkan kita dan kehidupan. Mungkin kita lupa atau pura-pura lupa tetapi alam tidak akan lupa untuk menghukum kita atas kesalahan yang kita lakukan.

Hujan lebat baru-baru ini telah menyebabkan banjir kilat di Kampung Baharu dan Kampung Lata Kasah, Jerantut. Sudah pastilah ketika membuka kampung ini dahulu, orang-orang tua sudah pastikan ianya bebas dari bencana banjir dan tidak ada dalam sejarah kampung-kampung ini ditenggelami air sejak bah besar tahun 26 lalu. Soalnya kenapa kini ianya berlaku?

Pejuang alam sekitar (?) membantah pembalakan dikawasan tadahan air di Kampung Baharu yang kononnya adalah punca kepada berlakunya pencemaran sungai banjir kita selama ini. Namun hasil siasatan tidak ada sebarang pembalakan atau sudah tiada sebarang pembalakan yang masih aktif dikawasan yang dinyatakan, tetap kenapakah air sungai masih tetap keruh dalam waktu-waktu tertentu?

Pejuang alam sekitar (?) lupa untuk melihat bahawa punca pencemaran sungai adalah disebabkan oleh lombong bijih di Kampung Baharu itu sendiri.

Pelepasan air sisa membersih bijih yang dilakukan secara berkala oleh pihak pelombong yang tidak dijalankan secara sempurna telah membuatkan aliran Sungai Teh jadi semakin cetek dan sempit dan itulah punca banjir kilat berlaku dan memberi kesan besar kepada penduduk khususnya di Kampung Lata Kasah dan Kg. Binjai.

Selain dari aliran sungai yang semakin cetek akibat mendapan dari lombong, saliran taliair juga perlu dipastikan airnya mengalir deras tanpa sebarang gangguan. Siasatan mendapati bahawa ketika hujan lebat ada beberapa 'culvert' di taliair berkenaan tersumbat atau airnya tidak dapat mengalir laju, dan ini juga mengakibatkan laluan air tersekat serta berlakunya banjir kilat di Kampung Lata Kasah.

Jabatan Alam Sekitar perlu selalu membuat lawatan bagi memastikan tiada pelanggaran tatacara pengurusan sisa air dari lombong berkenaan. Jabatan Alam Sekitar juga perlu membuka mata lebih luas agar dapat melihat dengan lebih telus.

Jabatan Kerjaraya dan Jabatan Pengairan dan Saliran juga perlu jalankan tugas dengan jujur dan cekap dalam menangani permasalahan yang memungkinkan jadi penyebab berlakunya banjir kilat dikawasan-kawasan tertentu.

Penduduk kampung, JKKK serta Tok Empat juga perlu memainkan peranan masing-masing. Kebersihan kampung dan kebersihan sungai perlu dijaga. Bukan sedikit sampah sarap yang menyebabkan aliran air sungai tersekat dan 'culvurt' tersumbat kerana sikap tidak prihatin kita.

Mungkin juga pihak SPRM perlu juga sekali-sekala meninjau dan 'beramah mesra' dengan pihak-pihak tertentu supaya tidak ada yang akan berani melakukan sesuatu yang 'mereka' ingini tetapi tidak kita ingini.

Banjir kilat ini adalah sebahagian amaran alam kepada manusia seluruhnya agar jangan terlalu rakus memusnahkan bumi ini. Bukit-bukau jangan digondolkan dan diruntuhkan. Paya dan tasik dan di timbus dan dimusnahkan. Sungai-sungai jangan dicemari.... atau nantikanlah alam akan menghukum kita semua.


Penafian / Disclaimer

Segala tulisan di dalam blog bERANIKAN hATI ini adalah pandangan dan pendapat bh secara peribadi dan bh tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruh sesiapa. Sebarang tulisan yang didapati ada persamaan adalah secara kebetulan melainkan dinyatakan merujuk kepada mana-mana artikel tertentu. Sebarang rujukan dalam penulisan di blog ini adalah dari bahan-bahan dan sumber-sumber yang diluluskan undang-undang. Sebarang pertikaian terhadap tulisan di blog ini maka sumber dan rujukan asal akan dirujuk, bh tidak akan dipertanggungjawabkan.

Terima kasih

Dari Mana Datangnya...