Jawatan adalah amanah dan tanggungjawab, ia bukannya hak mutlak
1. Walau apa pun, walau bila pun, PRU semakin hampir. Maka semakin ramailah orang-orang politik yang tak lena tidur kerana gagal mencipta mimpi indah - untuk jadi Yang Berhormat! Semuanya bercita-cita dan merancang itu ini untuk dapat dicalonkan dalam PRU nanti. Jika ditanya harapan untuk menang jika mereka dicalonkan, semua yakin mereka akan menang dan berpendapat jika dicalonkan orang lain tentu akan kalah.
2. Sekali lagi tokoh-tokoh politik kita jadi seperti anai-anai yang mengiggit tiang-tiang untuk meruntuhkan bangunan sama ada dalam sedar atau tidak. Musuh UMNO adalah UMNO sendiri.
3. Di Jerantut apabila Ku Lan umumkan tidak akan bertanding lagi maka ujudlah beberapa kem yang berusaha untuk merebut kekosongan itu. Nampak atau tidak, jelas atau tidak usaha pancung memancung sedang berlaku. Beberapa blog tertentu dengan rakusnya menghukum pencabar 'bos' mereka. Media sosial digunakan sepenuhnya dalam perang antara sesama kita. Malangnya mereka lupa bahawa pihak pembangkang juga sedang bersungguh-sungguh memerhatikan langkah kita. Segala keburukan antara kita yang dibongkar akan jadi senjata pihak lawan juga dalam perang sebenarnya nanti. Apakah kita sedar? Jerantut 1 + 3 adalah antara kawasan yang tidak lagi selamat dalam PRU akan datang.
4. Ketua Wanita UMNO Pahang bukan rendah harapan dan cita-citanya. Parlimen Maran adalah sasaran. Tapi kisah dalaman Wanita yang lintang pukang harus juga diambil kira. Khabarnya ramai ketua-ketua bahagian yang tidak setuju dengan cara pengurusan wanita yang tidak teratur dan dibuat sambil lewa saja. Mesyuarat hanya seperti bincang di kedai kopi bahkan khabarnya ada beberapa kali mesyuarat tidak cukup korum. Tapi ketuanya masih tenggelam dengan angan-angan dan angau-angaunya.
5. Jika Ketua Wanita UMNO Pahang berani untuk membersihkan diri dan mencipta nama, maka keluarkanlah kepala kura-kura-nya dan tentanglah YB Fuziah Salleh di Kuantan. Barulah nanti akan mencipta kemenangan bergaya untuk jadi sebutan zaman berzaman. Namun jika rasa penakut, maka berlindunglah dibelakang kawan-kawan sambil akui bahawa YB Fauziah lebih kuat dan popular dan lebih patut disanjung dari diri sendiri yang hanya mengharapkan serta perasan 'glamer'.
6. Dari sok-sek, sok-sek yang didengar, wanita kini lebih menyanjung tinggi cara-cara Dato' Maznah Mazlan menguruskan wanita sebelum ini berbanding sekarang ini yang caca-marba dan entah apa-apa. Wallahualam! (Tahniah Dato' Maznah Mazlan, bos saya suatu waktu dulu). Saya juga sayangkan dan hormati Ketua Wanita Pahang sekarang ini, namun saya lebih sayangkan UMNO dari mana-mana individu.