[ Sebentar lagi saya akan
menunaikan tanggungjawab sebagai ahli UMNO di peringkat cawangan. Saya pernah
menyandang jawatan Ketua Pemuda di sebuah cawangan lain sebelum itu, juga
terpilih sebagai AJK Pemuda Bahagian beberapa penggal. Menubuhkan UMNO cawangan
sekarang ini ketika UMNO diharamkan di zaman Tun Mahathir dulu. Menjadi
ketuanya, namun melepaskannya atas
alasan bertugas diluar kawasan. Kini saya kembali untuk melihat perbezaan UMNO
dahulu dan sekarang yang dikatakan semakin lemah. Saya bercadang untuk berucap dalam ucapan penangguhan nanti dan post
ini adalah sebahagian dari intipatinya. ]
( Kepada Presiden UMNO, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri-Negeri, Ketua UMNO Bahagian-Bahagian dan Ketua-Ketua UMNO Cawangan-Cawangan serta seluruh Ahli-Ahli UMNO. )
Setelah beberapa lama PAU (Perhimpunan Agung UMNO) ditangguhkan dengan
alasan menstabilkan parti dan memberi laluan kepada PRU13, maka kini kita sedang
mendepaninya juga. Sama ada demokrasi akan tetap subur didalam UMNO atau
sebaliknya, Persidangan Cawangan dan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian tetap
akan diadakan bagi menunaikan tanggung jawab dan mematuhi perlembagaan
pertubuhan.
Sepatutnya sudah tidak berlaku perpecahan didalam parti kerana
perebutan untuk jadi wakil rakyat sudahpun berlalu tinggal lagi hanya mengisi
jawatan didalam parti. Namun sentiasa ada didalam fikiran kita bahawa pemimpin tertinggi
parti di peringkat bahagian akan dicalonkan sebagai wakil rakyat, justeru berlakunya
perebutan mengisi jawatan-jawatan tertinggi parti dengan harapan akan
diperhatikan sebagai calon wakil rakyat DUN atau pun Parlimen.
Bagaimanapun prosesnya sudah bermula dari bawah lagi, dari peringkat
cawangan pemimpin tertinggi sudah mencaturkan dan menentukan siapakah yang akan
jadi perwakilan ke bahagian dan seterusnya akan mengundi bagi menentukan kepimpinan
bahagian. Disinilah bermulanya politik wang (sebutan yang lebih mulia berbanding rasuah politik) dimana para perwakilan dibayar bagi
mendapatkan undi dan menentukan kemenangan seseorang ataupun sekumpulan mereka.
Disinilah perpecahan dalam UMNO bermula dimana diperingkat cawangan ada yang
disisih demi memastikan orang tertentu yang akan mengundi di peringkat
bahagian.
Kerana itu jugalah maka pada kali ini dilakukan perubahan bagi
menentukan kepimpinan di peringkat bahagian dengan membuka lebih banyak peluang perwakilan
ke bahagian. Jika ada yang ingin berjual beli undi tentunya mereka perlukan
dana yang besar untuk membeli semua undi dari sesebuah cawangan. Tujuannya
untuk menghalang berlakunya ‘rasuah politik’. Apakah benar-benar mampu ‘rasuah
politik’ ini dihapuskan?
Dengan berfikir bahawa menjadi Ketua Bahagian, atau Timbalan, atau
Naib-Naib Ketua Bahagian akan membuka peluang lebih besar bagi kita untuk terpilih menjadi
wakil rakyat telah membuatkan berlakunya politiking dan perebutan kuasa didalam
UMNO. Maka wujudlah kem-kem bagi membantu calon-calon tertentu bermula dari
peringkat cawangan lagi. Maka berlakulah penyisihan ahli-ahli di cawangan bagi
memastikan undi dan suara mereka dapat menentukan jawatan orang-orang tertentu.
Dalam masa sama UMNO telah menutup peluang orang lain untuk sama berbakti dan
natijahnya adalah UMNO semakin berpecah-pecah dan menjadi sebuah parti yang
tidak lagi dominan. Akibatnya BN kehilangan banyak kerusi kepada pembangkang
dalam PRU13 lalu. (Boleh diperbincangkan lagi)
UMNO sepatutnya lebih terbuka dalam segi keahlian. Di peringkat
cawangan juga keahlian harus diperbanyakkan lagi dengan mengambil ahli-ahli
baru terutama golongan muda. Namun apabila itu tidak berlaku maka golongan muda
akan lebih cenderung menyokong pembangkang. Kerajaan Pahang sebelum ini hanya
kalah 4 kerusi kepada pembangkang namun dalam PRU13 lalu kehilangan kerusi
telah meningkat kepada 12. Tidak mustahil dalam PRU14 nanti UMNO BN akan
dikalahkan jika kita gagal mengubah sikap dan cara kita berfikir.
Pemimpin di peringkat cawangan perlu lebih adil dan telus serta jujur melaksanakan
tugas dan tanggungjawab. Berani menghadapi kenyataan bahawa jawatan dalam parti
bukanlah satu anugerah dan hak, tetapi adalah satu bebanan dan tanggungjawab.
Harapan Presiden UMNO sangat besar dan cawangan-cawanganlah kekuatan sebenar
parti, justeru perubahan mesti dimulakan disini bagi menentukan kuasa akan
terus berada ditangan kita. Jika tidak, tidak mustahil teori RAHMAN akan jadi
kenyataan dan DS Najib adalah pemimpin UMNO dan Melayu terakhir yang jadi PM
Malaysia.
Kita mesti akui bahawa kecenderungan golongan muda untuk menyertai
pembangkang semakin tinggi. Demikian juga dengan golongan profesional serta
penjawat awam yang merasakan selama ini disisihkan oleh parti yang mengamalkan
sistem pengekangan kuasa.
Di media sosial, pembangkang lebih bijak menggunakan dan mengambil
kesempatan. Jentera perang siber mereka lebih tersusun dan mantap dan nyata
mereka lebih menguasai media sosial sama ada blog, facebook, tweeter serta
youtube dan sebagainya. Mereka sentiasa dihadapan kerana pemimpin mereka
sentiasa ingin berada dihadapan. Sedangkan pemimpin kita pula memusuhi media
sosial dan menganggapnya tidak penting sama sekali.
Ada dikalangan pemimpin kita
yang semasa menghadapi PRU13 lalu senyap sunyi apabila berhadapan dengan media
sosial pembangkang namun menjelang PAU sudah tampil hebat dan kelihatan gagah
untuk ‘bunuh membunuh’ sesama sendiri. Musuh sebenar kita bukanlah sesama UMNO.
Tidak juga sesama sebangsa. Kelangsungan kekuasaan dan ketuanan bangsa Melayu
terletak ditangan kita sendiri, di tangan ahli-ahli UMNO yang bersidang pada
hari ini, yang bilangannya semakin mengecil dan menghadapi kehilangan kuasa
jika kita sendiri tidak mampu melakukan sesuatu untuk memperkasakan UMNO
semula.
Saya pernah satu ketika menawarkan diri sebagai wakil ke Mesyuarat Perwakilan Bahagian namun saya dihalang atau tidak diberikan peluang bahkan dianggap sebagai orang luar namun hakikatnya adalah kerana kronism ataupun kem-kem dalam parti. Tidak hairanlah UMNO akan semakin mengecil dan tidak lagi relevan kerana adanya pemimpin-pemimpin yang hanya mementingkan diri sendiri.
Pagi tadi saya mendapat maklumat bahawa di sebuah cawangan UMNO, persidangan sayap wanita dan pemudanya telah dilangsungkan tanpa pengetahuan Ketua Cawangan dan AJK Cawangan berkenaan bagi menaikkan orang-orang tertentu. Inilah sikap buruk ahli yang sanggup memperkosakan UMNO.
Kepada pemimpin-pemimpin UMNO semua. Sedari diri sendiri. Jika
merasakan kita tidak mampu lagi menjadi nakhoda atau UMNO semakin tidak kuat
dibawah kita, atau akan jadi lebih gagah dibawah orang lain, maka kita perlu
berundur. Jangan biarkan UMNO musnah ditangan kita. Kepimpinan bukanlah hak,
tetapi tanggungjawab. Kalau tidak mampu perkasakan UMNO, jangan sesekali UMNO
diperkosa, atau membiarkan ianya jadi perkasam.