Saya memerhatikan perkembangan media sosial di daerah kelahiran saya sendiri, nampaknya telah berkembang pesat. Ketika saya mula terlibat dengan media sosial ini pada tahun 2007, segalanya masih gelap. Tidak ramai yang turut mainkan peranan mereka dalam media sosial seperti blog atau setidak-tidaknya yang paling mudah seperti facebook. Mungkin kerana jauh di pedalaman serta kekurangan dari segi kemudahan internet membuatkannya demikian.
Namun segalanya sudah berubah. Kini sudah banyak blog-blog yang berwajahkan Jerantut biarpun kecenderungan utamanya adalah menulis politik. Facebook juga sudah tidak lagi terkira jumlahnya, sehingga di ulu sungai dan jauh di pedalaman seperti Kg. Bantal dan Kg. Mat Daling juga sudah ada kecenderungan ber-facebook. Saya tidak pasti pula sama ada twitter juga jadi kegemaran disini, mungkin tidak buat masa sekarang namun akan sampai juga waktunya nanti mereka akan asyik ber-twitter sepanjang masa seperti budaya di KL.
Memang perkembangan ini memberikan kebaikan kepada semua pihak, namun kerajaan atau pemerintah harus memantaunya dengan ketat, jika tidak ini akan memberikan kesan buruk kepada kerajaan pemerintah. Kita semua maklum bahawa kegagalan kita dalam PRU12 lalu adalah kerana kegagalan kita mentafsir impak yang mampu diberikan oleh media sosial. Kita gagal menguasainya sehingga pihak pembangkang menggunakan sepenuhnya sebagai saluran komunikasi mereka untuk menguggat kerajaan.
Kita percaya ketika ini kerajaan sudah sedar peranan dan impak yang mampu diberikan oleh media sosial, tetapi kita melihat bahawa ianya masih gagal dikawal sebaik-baiknya. Bahkan kita masih percaya yang majoriti pengamal media sosial adalah dari kalangan penyokong pembangkang. Keadaan ini jika dibiarkan tentu sukar memberikan kemenangan kepada parti kerajaan didalam PRU akan datang.
Saya melihat bahawa media sosial adalah sebagai satu ledakan revolusi yang tidak terkawal. Jika pemimpin kerajaan tidak berusaha untuk mengawalnya maka revolusi itu akan menghancurkan kerajaan yang ada. Apa yang harus dilakukan adalah pemimpin harus turun ke akar umbi dan tonjolkan diri sebagai pemimpin kepada revolusi media sosial ini dan seterusnya mejadi pemimpin rakyat. Media sosial sudah jadi media rakyat, justeru untuk memenangi hati rakyat pemimpin harus menjuarai media sosial untuk seterusnya menjuarai rakyat.
Apakah yang pemimpin kita lakukan selama ini? Mari kita ibaratkan pengamal media sosial ini sebagai revolusiner....mereka lahir didalam keadaan celaru dan haru-biru, mereka ketiadaan pemimpin namun mereka ingin berjuang dengan caranya, maka mereka yang bersenjatakan apa saja akan mencederakan bahkan membunuh siapa saja sesama mereka. Jika pemimpin kita turun ke akar umbi dan memandu mereka untuk kenali siapa sahabat dan siapa musuh, maka sudah tentu setiap serangan yang dilakukan akan jadi lebih teratur dan memberi impak yang besar kepada kerajaan dan rakyat juga. Seterusnya memberikan peluang kerajaan untuk terus memerintah.
Tahniah kepada laman-laman grup facebook di Jerantut; Dewan Parlimen Jerantut, Satu Jerantut, Kome Satu Jerantut dan sebagainya yang tak mampu saya sebutkan satu persatu. Tahniah juga kepada blog-blog baru politik Jerantut; Kutukan Dewata, Pemikir Politik Jerantut dan lain-lain lagi. Menulislah, bersuaralah untuk memberikan pandangan dan pendapat rakyat, tetapi harus dengan berhemah.
Di zaman Jerantut masih 'gelap' media sosial, kesian 'seseorang' yang sering dituduh sebagai penulis blog hanya kerana dia lah penulis blog terawal. Mungkin mereka lupa bahawa masih ramai orang yang mampu malakukannya bahkan mungkin lebih baik selain 'dia'. Jika masyarakat Jerantut masih gelap masa kini, tentu mereka akan pening kepala kerana sudah tentu mereka sedar bahawa tentulah tidak mampu 'seseorang itu' untuk memiliki kesemua lebih 40 blog yang ada sekarang ini serta beberapa puluh bahkan ratus laman facebook. Masa telah selamatkan 'orang itu' dari tertuduh selamanya.
No comments:
Post a Comment